Tubuh suruhanjaya kaji semula dasar berkaitan dadah

Lee Lam Thye - Foto HALIM WAHID
Lee Lam Thye - Foto HALIM WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu suruhanjaya khusus perlu ditubuhkan bagi mengkaji semula dasar berkaitan dadah untuk membawa pembaharuan dan perubahan yang lebih relevan, kata Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Katanya suruhanjaya tersebut perlu dianggotai pemimpin tertinggi agensi-agensi kerajaan berkaitan, pertubuhan bukan kerajaan dan pakar.

Menurutnya suruhanjaya tersebut perlu mengkaji pendekatan berkaitan dadah sedia ada dan memperkenalkan polisi baharu dadah yang rasional, untuk menangani masalah itu secara efektif dan komprehensif.

“Suruhanjaya tersebut juga harus melakukan analisis menyeluruh mengenai kegagalan pelbagai program dan inisiatif untuk menangani isu dadah yang selama ini hanya memberi tumpuan kepada penangkapan dan menghukum penagih dadah.

“Ia juga perlu mengambil kira cadangan untuk dekriminalisasi (menyahjenayah) penagih dadah kerana mereka tidak seharusnya dilihat sebagai penjenayah tetapi pesakit yang perlu dirawat dan dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, suruhanjaya tersebut juga perlu mengkaji isu-isu terkini termasuk kemasukan dadah sintetik yang mana pengedar dadah jenis itu gemar menyasarkan jualan kepada generasi muda termasuk pelajar, kata Lee.

Sementara itu, Lee berkata pendedahan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador baru-baru ini yang berkata penggunaan dadah di negara ini kini pada tahap kritikal menunjukkan betapa seriusnya masalah tersebut selain membuktikan kegagalan kita menanganinya.

Katanya walaupun masalah dadah di Malaysia belum mencapai tahap negara-negara lain seperti Colombia, ia bakal menjadi lebih teruk jika tiada langkah drastik diambil untuk mengatasinya.

Artikel Berkaitan:

“Apa yang berlaku menunjukkan betapa mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini tidak takut terhadap undang-undang termasuk hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah.

“Masanya telah tiba untuk kerajaan melakukan penilaian semula secara menyeluruh semua polisi, pendekatan, operasi dan juga penguatkuasaan undang-undang berkaitan dadah,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!