Karnival Merdeka Muhibbah saji pelbagai program menarik

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amirudin Taib (empat dari kiri) bersama-sama meraikan pelari veteran A Krishnan dan Nasir Abas.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amirudin Taib (empat dari kiri) bersama-sama meraikan pelari veteran A Krishnan dan Nasir Abas.
A
A
A

SHAH ALAM - Karnival Merdeka Muhibbah anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Estate Sdn Bhd (PREC) yang bermula pada 29 Ogos sehingga hari ini berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada para pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, SR Fakru Radzi Ab Ghani berkata, menerusi penganjuran karnival berkenaan pengunjung dapat bersama-sama menantikan ketibaan pelari veteran, Nasir Abas, 64 dan A Krishnan, 61, yang memulakan larian mereka sejak 19 Ogos lalu.

Menurutnya, kedua-dua pelari veteran berkenaan memulakan larian dari Medan Bandar Alor Setar dan berakhir di SACC Mall dengan jarak sejauh 540 kilometer.

"Larian ini juga sekali gus melayakkan mereka untuk mengukir nama di dalam Malaysia Book of Records," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Fakru berkata, penganjuran karnival tersebut merupakan satu daya penarik buat masyarakat di sekitar kawasan Shah Alam untuk bersama-sama menghayati Hari Kemerdekaan di Shah Alam Convention Center (SACC) Walk dan SACC Mall.

Selain itu, beliau berkata, pelaksanaan karnival tersebut dapat menyemai semangat cintakan negara melalui penganjuran beberapa program serta aktiviti menarik buat pengunjung.

"Kami bawakan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan orang dewasa seperti Beyblade Merdeka Battle yang mana menawarkan hadiah berjumlah sehingga RM1,300.

"Selain itu, malam ambang merdeka turut dihangatkan lagi dengan persembahan artis tanah air dan luar negara seperti 6ixth Sense, Dinamik, Jinbara, Assalambuskers, Klangit, Zamarul Hamzah, Zara Ali dan ramai lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, karnival itu juga turut menyediakan ruang jualan makanan dan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) buat para pengunjung yang hadir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!