Tujuh nasihat untuk pendaki
GUA MUSANG - Tujuh perkara perlu diberi perhatian oleh pendaki yang mahu memulakan aktiviti di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, dua gunung di daerah ini iaitu Gunung Yong Belar dan Gunung Rabong sering menjadi tarikan pendaki di seluruh negara.
Bagaimanapun katanya, pendaki perlu memberi perhatian dalam beberapa perkara agar kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.
"Pertama, pendaki perlu memaklumkan pihak polis mengenai sebarang aktiviti yang ingin dijalankan. Kedua, berikan butiran-butiran waris agar mudah dihubungi jika berlaku kecemasan.
"Ketiga, pastikan membuat persediaan secukupnya dari aspek fizikal dan mental. Keempat, bawa pendaki yang boleh memberi bantuan atau mahir dalam langkah pertolongan cemas.
"Kelima, gunakan pakaian sesuai kerana cuaca sangat sejuk dan boleh menyebabkan sesak nafas. Keenam, pastikan pergerakan dalam berkumpulan dan tidak berpecah kerana boleh tersesat serta ketujuh, patuhi arahan penunjuk arah," katanya.
Kelmarin, seorang kakitangan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Kuala Kangsar meninggal dunia ketika mendaki Gunung Yong Belar, Lojing.
Mangsa, Rosli Kamaruddin, 52, dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas ketika mendaki gunung berkenaan bersama kumpulan pendaki yang lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Maut di puncak gunung
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!