Gangguan sistem KLIA: Polis akan panggil beberapa lagi individu

-Foto Bernama
-Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Polis tidak menolak kemungkinan akan memanggil lagi beberapa individu untuk direkod keterangan berhubung siasatan kes gangguan rangkaian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) minggu lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamshah berkata, setakat ini pihaknya sudah merekod keterangan lapan individu termasuk empat jurutera perisian bahagian teknologi maklumat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Siasatan masih dijalankan. Kita akan panggil lagi beberapa individu untuk bantu siasatan. Proses ini memakan sedikit masa dari segi teknikal dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Gangguan sistem di KLIA mula dikesan sejak 21 Ogos lalu berpunca daripada masalah sistem pelayan KLIA sekaligus menyebabkan banyak jadual penerbangan mengalami kelewatan.

Sistem di KLIA kemudian dilaporkan pulih selepas empat hari mengalami gangguan.

ARTIKEL BERKAITAN: Gangguan sistem KLIA, lapan individu dipanggil polis

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook. berkata, insiden gangguan sistem di KLIA adalah isu besar yang perlu disiasat dan semua pihak termasuk pengendali lapangan terbang diminta tidak membuat apa-apa andaian.

Beliau meminta semua pihak agar memberi ruang kepada pihak polis dan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan Total Airport Management System (TAMS) KLIA menjalankan siasatan terhadap insiden itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana ini isu besar. Perkara ini kita tidak boleh buat andaian sahaja sebab ini melibatkan pintu masuk utama negara, ikon dan satu tempat yang sangat strategik untuk negara.

"Jadi apa-apa yang berlaku di sana patut disiasat dengan terperinci dan saya tidak mahu mana-mana pihak, termasuk pengendali lapangan terbang, membuat apa-apa andaian," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Anthony Loke mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Isu Kegagalan TAMS KLIA pada 26 Ogos lepas susulan gangguan sistem di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos sehingga menyebabkan pembatalan dan kelewatan penerbangan serta ketidakselesaan kepada penumpang selama beberapa hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!