Mayat lelaki ditemukan terbaring di luar rumah
BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang lelaki ditemukan di luar sebuah rumah di Kampung Juru, di sini pagi tadi.
Mayat Choong Teih Shyang, 55, ditemui oleh anak saudaranya dalam keadaan terbaring kira-kira jam 5.30 pagi selain mendapati dompet serta motosikal milik mangsa hilang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan forensik mendapati tiada kesan pergelutan di sekitar tempat kejadian malah pemeriksaan ke atas badan mangsa juga tidak menemui sebarang kesan luka.
"Polis menemui topi keledar milik mangsa di kawasan semak tidak jauh daripada kedudukan mayat ditemui. Bedah siasat yang dilakukan di Hospital Selayang mendapati mangsa meninggal dunia kerana sakit jantung," katanya ketika dihubungi semalam.
Nik Ros Azhan berkata, pihaknya masih menyiasat kehilangan dompet dan motosikal milik mangsa.
Katanya, setakat ini kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!