Dua penuntut Kolej Matrikulasi Pahang mati lemas
KUANTAN - Dua sahabat yang juga penuntut Kolej Matrikulasi Pahang ditemukan mati lemas di kawasan Air Terjun Berkelah, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.13 pagi itu, mangsa, Muhammad Dzulhaziqi Mohd Azmi dan Syafwan Sukri masing-masing berusia 19 tahun lemas selepas tenggelam dan dibawa arus ketika menghabiskan cuti bersama rakan-rakan di kawasan perkelahan itu.
Kedua-dua jasad mangsa yang juga penuntut Jurusan Kejuruteraan Sains Tahun 3 ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba pada jam 12.36 tengah hari.
Ketua Operasi, Penolong Penguasa Bomba (PPGB) Normasni Mat Taib berkata, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
"Operasi turut dibantu anggota PPDA Kuantan menggunakan teknik rescue.
"Usaha berkenaan berhasil dan kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan sudah meninggal dunia," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali mengesahkan kejadian tersebut.
"Mayat kedua-dua mangsa yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan dan Kampung Sertik, Pahang itu dihantar ke Unit Forensik HTSS untuk tujuan bedah siasat," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua penuntut Kolej Matrikulasi Pahang dikhuatiri lemas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!