Jamal kongsi ilmu jual ikan murah
AMPANG – Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos sudi berkongsi ilmu menjual ikan dengan harga murah kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.
Jamal berkata, beliau menawarkan diri untuk memberi ilmu kepada dua menteri berkenaan supaya rakyat dapat membeli ikan dengan murah.
“Saya dapat ikan dari jeti dengan harga murah, kemudian saya jual dengan harga murah, namun saya masih dapat keuntungan,” katanya.
Beliau berkata, harga ikan yang dijualnya adalah serendah RM5, namun harga ikan di pasar berkemungkinan dua kali ganda.
“Saya dimaklumkan ikan sardin mencecah RM17 atau RM18 sekilogram, saya hanya menjual ikan jenis sama dengan harga RM5 untuk ikan sardin bersaiz kecil dan RM10 untuk ikan sardin besar sekilogram,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini dalam siri jelajah Program Jualan Ikan Segar Dari Jeti Dengan Harga Murah.
“Sebelum ini ada dakwaan yang menuduh kita memberi subsidi dalam program ini, sebenarnya kita tidak beri subsidi, kita telah membuktikan harga ikan yang dijual kepada masyarakat adalah murah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!