Awasi bunga-bunga perpecahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan mesti mengambil tindakan drastik untuk menghalang anasir-anasir yang boleh mencetuskan konflik hingga membawa bunga perpecahan dalam masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Pakar sosiologi merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Mohamad Shatar Sabran berkata, sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, nikmat kepelbagaian kaum itu telah dirasai kecuali berlaku satu peristiwa hitam pada 13 Mei 1969.

"Bagaimanapun, detik-detik perpecahan, pertelingkahan, konflik seperti mula menunjukkan bunga sejak akhir-akhir ini. Terdapat sesetengah pihak cuba ambil kesempatan menggunakan pelbagai isu untuk memecah-belahkan masyarakat sedia ada seperti isu berkaitan agama, budaya dan adat resam,” katanya.

Sehubungan itu Shatar berkata, kerajaan perlu mengambil langkah drastik supaya perpecahan yang baharu berputik itu tidak terus menjadi parah.

“Kalau kita merantau satu dunia pun, kita tidak akan mampu mendapat satu negara yang sama seperti di Malaysia di mana masyarakatnya boleh bersalaman, saling tersenyum antara satu sama lain, walaupun berbeza agama, bangsa serta keturunan.

"Itulah keunikan negara yang kita perlu bangga dan seharusnya kita menjadi bahan rujukan negara-negara lain," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, perlu diingatkan terdapat usaha-usaha daripada pihak tidak bertanggungjawab yang ingin melihat perpecahan dan kehancuran dibina selama 62 tahun negara kita mencapai kemerdekaan atas kepentingan tertentu.

“Perlu ada usaha berterusan untuk memastikan ikatan perpaduan ini terbina kukuh dan banyak aspek boleh kita lihat salah satunya pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Falsafah pendidikan negara perlu dilihat semula dan dihayati serta dilaksanakan di semua peringkat sekolah. Penyata Razak 1956 menyatakan bahawa kita sebagai rakyat Malaysia perlu memberi keutamaan kepada perpaduan, perlu mengetepikan perbezaan," kata beliau.

Selain itu menurutnya, nilai perpaduan kesamaan bangsa di bawah satu negara boleh dicapai melalui aktiviti kemasyarakatan, kejiranan dan juga aktiviti di peringkat kebangsaan.

“Rumah terbuka perayaan sana sini secara tidak langsung dapat mengembalikan semula perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia. Kalau kita tidak ada platform untuk berkenalan dan sebagainya, pepecahan akan menjadi lebih ketara," katanya.

Bagi pakar bahasa Melayu yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong, cabaran membina bangsa Malaysia kini menjadi berbahaya jika diteliti bersandarkan komen-komen dilemparkan masyarakat di media sosial terhadap sesuatu isu.

"Rakyat Malaysia perlu insaf bahawa memang wujud masalah dalam soal perpaduan dan tidak boleh bersikap retorik lagi. Kerajaan baharu menganjurkan dasar yang memberi kebebasan bersuara namun sebaliknya masyarakat kita belum matang dan menyalahgunakan dasar itu.

“Realitinya kita ada masalah sekarang ini dan perlu berpijak di bumi nyata. Masyarakat perlu berbincang bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini. Kita tak boleh ketepikan atau sembunyikan macam takda perkara berlaku," katanya.

Peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di negara ini pada 13 Mei 1969 masih tetap dalam ingatan.
Peristiwa berdarah rusuhan kaum paling dahsyat di negara ini pada 13 Mei 1969 masih tetap dalam ingatan.

Beliau berpandangan, jika dahulu persoalan sekolah wawasan yang dibantah oleh kaum Cina menjadi isu kini antara perkara perlu dilihat ialah isu bantahan terhadap tulisan jawi, isu bendera Jalur Gemilang dan isu fitnah terhadap tugas tentera.

“Realitinya masalah dihadapi barangkali ibarat retak menunggu belah. Kini setiap hari ada tindakan yang berkemungkinan mencetuskan perbalahan terbuka.

"Waktu kemerdekaan dahulu ada perjanjian etnik dikenali sebagai kontrak sosial iaitu orang Cina dan orang India memerlukan kerakyatan. Orang Melayu pun bagi kerakyatan tapi orang Melayu minta orang Cina dan India terima empat perkara.

"Pertama, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedua, agama Islam sebagai agama utama di negara ini. Ketiga, kedudukan istimewa orang Melayu sebab mereka penduduk asal, penghuni yang lebih lama dari orang Cina dan India. Keempat, orang Melayu minta hormat dan kekalkan institusi raja Melayu. Orang Cina dan India pada waktu tu terima permintaan orang Melayu.

"Tetapi akhir-akhir ini selepas 62 tahun merdeka, kita tengok orang bukan Melayu tidak menyempurnakan perhatian terhadap kontrak sosial itu. Orang bukan Melayu perlu kenang balik yang mana orang Melayu dah tunaikan bagi kerakyatan tetapi anak cucu orang bukan Melayu tak nak terima sekarang. Kita kena tarbiah balik sejarah ini," katanya.

Menghuraikan lebih dalam Kok Seong berkata, apa dihadapi hari ini merupakan kesan akibat sistem yang diwujudkan selepas Tanah Melayu merdeka iaitu pemilihan konsep integrasi ternyata berbeza dengan konsep asimilasi dilaksanakan oleh Thailand dan Indonesia.

"Kita pilih integrasi sebagai asas kita. Integrasi membenarkan kelompok-kelompok yang berbeza bergerak secara berasingan sebab itu kita ada sekolah Cina ada sekolah Melayu. Malah budaya Cina dan India juga boleh dipraktikkan secara bebas.

“Sementara asimilasi semua perlu menjadi satu. Misalnya kaum Cina di Indonesia, tak boleh guna nama Cina sebaliknya perlu guna nama Indonesia. Sekolah Cina tidak ada dan sewaktu Presiden Soeharto dahulu, tiada cuti umum bagi perayaan Tahun Baharu Cina di Indonesia," katanya.

habis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!