Pecahkan ruyung, dapatkan sagu
MALAYSIA dijangka mengalami cuaca panas sehingga pertengahan September ini. Dalam cuaca panas ini, alangkah indahnya hidup jika dihidangkan sagu gula melaka atau cendol sagu. Ia pasti menghilangkan kehausan dan kepanasan.
Menikmati apa jua juadah berasaskan sagu amatlah membahagiakan, tetapi pernahkah kita terfikir betapa sukarnya menghasilkan sagu? Sagu terhasil daripada pokok rumbia yang mempunyai ruyung atau kulit kayu yang keras.
Bagi mendapatkan sagu, kulit pada pokok rumbia tersebut perlu dipecah-pecahkan terlebih dahulu. Pokok rumbia sukar didekati kerana tumbuh berdekatan paya dan di dalam hutan belukar.
Oleh yang demikian, usaha mendapatkan sagu bukanlah suatu yang mudah. Pencari sagu harus bersedia dari segi mental dan fizikal. Selain itu peralatan seperti parang, kapak dan pisau semestinya tajam. Gigitan haiwan berbisa seperti lipan dan lain-lain kemungkinan juga harus difikirkan. Kiasan kisah ruyung serta cabaran yang terpaksa diredah demi mendapatkan sagu ini amat sesuai dijadikan perlambangan tentang kesukaran mencapai kejayaan.
Kita sering beranggapan bahawa mudahnya seseorang itu berjaya, tetapi pernahkah kita membayangkan kesukaran dan cabaran yang terpaksa mereka lalui sebelum mencapai kejayaan seperti si penebang pokok rumbia? Bagi mencapai kejayaan, seseorang perlu berusaha dan berkorban kerana ia tidak datang bergolek.
Jika anda seorang pelajar, anda harus belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya. Jika anda seorang atlet, anda perlu berlatih bermati-matian untuk menjadi juara. Jika anda seorang pekerja, anda harus ‘pulun’ untuk mendapatkan kedudukan dan pendapatan yang lebih baik.
Ringkasnya, kejayaan tidak akan mampu dicapai tanpa usaha yang jitu. Kajian psikologi dan kelakuan organisasi menunjukkan kejayaan yang dicapai atas usaha sendiri akan menambah baik kematangan diri dan menjadi pencetus kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Kita memerlukan beberapa strategi untuk berjaya. Pertama, kita perlu mempunyai kemahuan yang kuat untuk berjaya. Kemahuan yang tinggi untuk berjaya menjadikan seseorang terus mencuba dan berusaha. Semangat itu juga boleh menjadi pendorong kepada individu lain yang mungkin menemui kegagalan dalam usaha mereka memburu kejayaan.
Hanya dengan semangat yang kuat akan membolehkan kita bangun kembali apabila bertemu kegagalan pada peringkat awal. Harus juga diingat bahawa kegagalan kali pertama bukan pengakhiran kepada suatu matlamat.
Kedua, kita perlu mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa usaha yang hebat akan menghasilkan kejayaan. Ketidakyakinan pada kebolehan diri sendiri biasanya menyebabkan pencapaian matlamat lambat dicapai atau terus gagal dicapai.
Ketiga, semasa kita gigih berusaha memburu kejayaan, kita harus sanggup membantu orang lain mencapai kejayaan yang sama. Kesanggupan membantu orang lain berjaya bukan sahaja suatu sikap mulia, malah ia dapat mengelakkan buruk sangka dan rasa cemburu dalam diri kita sendiri dan orang yang dibantu.
Pemikiran ‘orang lain tidak boleh lebih daripada aku’ atau ‘dia mesti alami kepayahan yang aku rasa untuk berjaya’ harus dibuang sama sekali. Sekiranya kita telah berada di atas, kita janganlah pula menjadikan pengalaman dan kesukaran kita sebagai penanda aras untuk orang lain.
Perbuatan mengubah penanda aras atau syarat untuk berjaya itu akan mematikan semangat mereka yang masih tercari-cari hala tuju.
Akhirnya, kita mesti mempunyai perancangan rapi bagi membolehkan kejayaan dicapai dalam tempoh yang lebih singkat. Mengamati dan mencontohi pengalaman individu yang telah berjaya adalah langkah terbaik untuk kita bersiap siaga menempa kejayaan yang lebih besar. Melalui pengalaman orang lain, kita akan berupaya membuat analisis kendiri, mencari dan menerima kekuatan dan kelemahan diri.
Mimpi dan angan-angan adalah sesuatu yang percuma. Walaupun begitu, mimpi dan angan-angan tanpa sebarang usaha umpama angan-angan Mat Jenin. Selain itu, usaha yang sedikit pasti menghasilkan kejayaan ala kadar sahaja. Sebagaimana kita meletakkan impian dan matlamat yang tinggi untuk dicapai, maka usaha juga perlulah luar biasa dan lain daripada yang lain. Kesemua impian tidak mustahil dicapai jika ia diikuti dengan usaha, tekad dan fikiran positif. Jadi, mari letakkan matlamat kita setinggi langit, jika jatuh pun kita masih mencapai bintang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!