Pernah tiada wang bayar yuran

Siti Esah (duduk, kanan) dan Mohd Zain (duduk, kiri) bersama anak-anak dan menantunya.
Siti Esah (duduk, kanan) dan Mohd Zain (duduk, kiri) bersama anak-anak dan menantunya.
A
A
A

GUA MUSANG - Meskipun hidup dihimpit kemiskinan, seorang ibu kepada 11 anak berjaya membuktikan bahawa kesempitan hidup bukan penghalang untuk anak-anaknya cemerlang dalam akademik dan seterusnya mengubah taraf kehidupan.

Seramai tujuh daripada 11 anak pasangan Siti Esah Ghazali, 57, dan Mohd Zain Deraman, 60, berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, malah ada yang sudah memiliki kerjaya sendiri.

Berasal dari perkampungan setinggan, Kampung Tiong di sini, Siti Esah berkata, dia pernah tidak mampu membayar yuran anaknya satu ketika dahulu.

“Pada 2002, anak kedua saya berjaya ke Kolej Mara Kulim, namun saya tidak mampu membayar yuran ketika itu berjumlah RM300.

“Suami hanya bekerja kampung dan lapan anak bersekolah. Sampai ke sudah saya tidak mampu bayar. Alhamdulillah ada hamba ALLAH yang bantu bayarkan, sampai sekarang saya tak tahu siapa dia.

“Anak-anak jarang bawak duit ke sekolah, kalau ada pun 50 sen. Ada masa berlapar dan makan bila balik rumah. Paling terkesan, suami beli telur RM1 dan bahagi kepada 13 orang, tak mampu beli gas memasak, saya masak dengan dapur kayu,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Siti Esah berkata, anak pertamanya, Mohd Zulkifli, 37, yang ada kemahiran membaiki gajet dan komputer kini bergelar usahawan.

“Anak kedua Mohd Azizul yang berusia 35 tahun pula kini kerja di Petronas Kemaman. Dia adalah graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Anak ketiga, Mimiliza (33) juga bekas graduan dan kini ada restoran di bandar Gua Musang.

Artikel Berkaitan:

“Anak keempat, Mohd Imran, 31, bertugas sebagai tentera dan yang kelima, Mohd Afiq Akram, 29, pula bekas pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta kini bertugas sebagai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Menurutnya, anak keenamnya, Norwahidayu, 27, yang bertugas sebagai pegawai bank merupakan lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pasangan kembar, Mohd Syazwan dan Mohd Syazwin, 23, menuntut di Universiti Malaya (UM) serta Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Anak kesembilan saya, Norshafieqa, 20, belajar di UiTM Machang dalam bidang perbankan, manakala Mohd Shahril,18, dan Mohd Naim, 14, masih sekolah,” katanya.

Siti Esah berkata, kemiskinan banyak mengajar anak-anaknya supaya menghargai setiap peluang yang diperoleh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!