Kerajaan sedia kaji henti perbaharui cukai jalan di pejabat pos
MIRI - Kementerian Pengangkutan bersedia meneliti semula arahan pemberhentian urus niaga pembaharuan cukai jalan melibatkan kenderaan persendirian 2,000 cc ke atas di pejabat pos Sarawak, Sabah, Pulau Langkawi dan Labuan yang berkuat kuasa semalam.
Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, satu pertemuan dengan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid akan diadakan dalam minggu ini untuk melihat sama ada arahan tersebut wajar diteruskan atau tidak.
"Ini cadangan JPJ bukan arahan Menteri Pengangkutan, saya faham JPJ bertindak demikian untuk mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan kerana ada kenderaan berdaftar di Semenanjung memperbaharui cukai jalan di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat DAP Miri hari ini.
Anthony Loke berkata, JPJ mengesan terdapat pemilik kenderaan 2,000 cc ke atas dari Semenanjung yang mengambil kesempatan kadar cukai jalan murah di Sarawak dan Sabah dengan memperbaharui cukai jalan di pejabat pos di kedua-dua negeri terbabit.
Beliau berkata, pada masa sama kepentingan masyarakat di Sarawak dan Sabah perlu diambil kira dalam isu ini kerana memerlukan saluran yang banyak untuk memperbaharui cukai jalan berikutan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai pejabat JPJ.
Menurutnya, ketiadaan pejabat JPJ di sesetengah kawasan di kedua-dua negeri ini akan menyukarkan proses pembaharuan cukai jalan bagi penduduk yang tinggal jauh dari lokasi pejabat JPJ negeri atau cawangan.
Pengumuman Pos Malaysia mengenai arahan pemberhentian pembaharuan cukai jalan itu tular di media sosial minggu lepas.
Ia mendapat reaksi negatif netizen terutama yang tinggal di pedalaman Sarawak berikutan tindakan itu didakwa membebankan dari segi kewangan dan masa serta dan menambah kesesakan di pejabat JPJ dan di Pusat Transformasi Bandar (UTC).
Mengenai cadangan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) melibatkan sempadan Malaysia dan Brunei, Anthony Loke berkata setakat ini ianya masih dalam peringkat kajian.
Pada 25 April lepas, Ketua Pengarah JPJ telah mengumumkan cadangan melaksanakan VEP ke atas semua kenderaan asing di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) sempadan Malaysia dan Brunei untuk memudahkan pemantauan kenderaan berdaftar dari negara luar memasuki negara ini terutama sekali membabitkan isu saman trafik dengan kertas cadangan akan diserahkan kepada Menteri Pengangkutan pada tahun ini juga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!