Presiden MCA tak faham situasi pelajar di Malaysia

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempertikaikan pengenalan sarapan percuma bagi semua pelajar sekolah rendah di Malaysia menunjukkan beliau tidak sensitif dan tidak memahami situasi sebenar pelajar di Malaysia.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, beliau kecewa dengan sikap Ka Siong yang terlalu berkira-kira dalam memberikan makanan berkhasiat untuk anak-anak Malaysia.

“Beliau juga telah mempersoalkan mengapa pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi harus diberikan sarapan percuma di sekolah.

“Perlu diingatkan bahawa hanya kerana seseorang itu datang daripada keluarga berada, tidak bermakna pelajar berkenaan akan mengambil sarapan pagi. Kajian menunjukkan hampir 18 peratus pelajar yang dikaji daripada keluarga berpendapatan tinggi tidak bersarapan atau hanya bersarapan sekali-sekala.

“Situasi ini lebih teruk dalam kalangan pelajar berpendapatan rendah pada kadar 28.3 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan kerajaan memperkenalkan konsep sarapan percuma di sekolah rendah adalah tepat kerana ia akan mempersiapkan semua pelajar secara mental dan fizikal untuk menghadapi proses pembelajaran.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 19 Mac 2019 telah menjelaskan bahawa kos sarapan percuma ini akan ditampung menggunakan cukai gula atau soda tax yang telah diperkenalkan atas minuman bergula bermula 1 Jun 2019.

“Di samping itu, kos sarapan percuma ini dapat dikurangkan apabila kerajaan memberikan tender makanan di kantin sekolah secara proses terbuka dan kompetitif. Bukan itu sahaja, menerusi pengurusan perbelanjaan yang lebih teliti dan pengurangan ketirisan, hasil penjimatan ini dapat digunakan untuk membayar kos sarapan percuma,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir itu lagi, program sarapan percuma merupakan salah satu langkah kerajaan menuju ke arah aspirasi rakyat yang mahu melihat perubahan berlaku di dalam negara.

“Program ini sejajar dengan konsep kemakmuran bersama (shared prosperity) kerana kemajuan negara tidak dapat dicapai tanpa modal insan yang berkualiti.

“Membina modal insan yang berkualiti sejak dari zaman persekolahan rendah adalah langkah awal pembinaan sebuah negara maju yang seimbang,” katanya.

Baru-baru ini, Ka Siong mempersoalkan Program Sarapan Percuma (PSP) yang akan dilaksanakan di sekolah rendah tahun depan dan bertanyakan adakah kerajaan berhajat untuk memberikan makanan percuma kepada pelajar dari keluarga berada.

Menurutnya, bukankah lebih elok sekiranya duit yang sama dibelanjakan untuk membantu golongan petani daif, serta membina lebih banyak projek perumahan rakyat atau rumah kos rendah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!