Bubu naga jejas pendapatan nelayan pesisir pantai

Noh (kiri) bersama-sama nelayan menunjukkan permasalahan dihadapi nelayan kawasan itu berikutan penggunaan bubu naga dalam kalangan warga asing.
Noh (kiri) bersama-sama nelayan menunjukkan permasalahan dihadapi nelayan kawasan itu berikutan penggunaan bubu naga dalam kalangan warga asing.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kira-kira 200 nelayan pesisir pantai di Jeti Sungai Kajang dihimpit tekanan apabila tangkapan hasil laut berkurangan berikutan penggunaan bubu naga secara berleluasa sejak lebih setahun lalu.

Ketuanya, Bushro Sameon berkata, penggunaan bubu naga sepanjang 15 hingga 20 meter itu menyebabkan pendapatan mereka terjejas teruk.

Menurutnya, jika sebelum ini mereka mampu memperoleh purata pendapatan lebih RM1,000 sebulan, namun hasil tangkapan sekarang jauh merosot.

"Penggunaan pukat yang dilarang itu kebanyakannya dimonopoli nelayan asing mengakibatkan benih ikan serta spesis ikan kecil masuk ke dalam bubu naga.

“Keadaan ini menyebabkan hasil tangkapan nelayan pesisir pantai makin berkurangan dan ada kalanya tiada langsung," katanya.

Bushro berkata, jika keadaan itu terus berlarutan, pihaknya bimbang hasil laut berkurangan pada masa depan.

"Macam mana nak ada jika semua benih dan ikan kecil pun masuk dalam bubu naga," katanya.

Katanya, bubu naga mudah digunakan kerana hanya perlu diletakkan di laut dan setiap pagi, nelayan hanya pergi mengutip hasilnya saja.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan itu berbeza dengan kami yang menggunakan pukat hanyut bagi aktiviti menangkap ikan dengan terpaksa menurun dan menaikkan pukat setiap kali ke laut," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar meninjau masalah dihadapi nelayan di kawasan itu.

Noh berkata, Kementerian Pertanian Industri Asas Tani digesa memandang serius isu dibangkitkan nelayan terbabit.

"Pihak kerajaan khususnya Jabatan Perikanan diminta menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan mesti mengambil tindakan tegas tentang perkara ini," katanya.

Beliau memberitahu, perkara itu juga akan dibawa beliau ke Sidang Parlimen akan datang termasuk ingin mengetahui sejauh mana langkah penguatkuasaan dilakukan dalam membanteras penggunaan bubu naga.

"Mustahil tiada tangkapan dibuat kerana saya difahamkan penggunaan bubu naga ini dijalankan setiap hari.

"Kita juga minta menteri berkaitan turun sendiri melihat bagaimana nelayan menangis betapa susahnya mereka mencari rezeki lebih-lebih lagi elaun sara hidup mereka dipotong daripada RM300 kepada RM200, malah ada yang langsung tidak menerima elaun berkenaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!