Serangan bom, tiga pelancong Vietnam maut

Keadaan bas itu yang musnah akibat letupan bom tersebut. Foto: AFP
Keadaan bas itu yang musnah akibat letupan bom tersebut. Foto: AFP
A
A
A

KAHERAH - MESIR. Tiga warga Vietnam dan seorang pemandu pelancong terbunuh selepas sebuah bom diletakkan di tepi jalan meletup dan mengenai bas dinaiki mereka dalam kejadian di luar Kaherah, semalam.

Pejabat Pendakwa Raya Awam dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 11 pelancong Vietnam dan pemandu bas warga tempatan turut cedera dalam insiden letupan bom buatan sendiri itu.

"Bas tersebut membawa 16 penumpang termasuk 14 pelancong Vietnam. Kesemua mereka dalam perjalanan untuk menyaksikan pameran bunyi dan cahaya di piramid tersebut," jelasnya.

Menurut pejabat itu, alat letupan itu ditanam berhampiran tembok di Jalan Mariyutiya di daerah al-Haram berhampiran Piramid Giza.

Susulan kejadian itu, Vietnam menggesa Mesir memburu dalang bertanggungjawab di sebalik kejadian serangan tersebut.

"Kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan ini yang telah meragut nyawa tidak berdosa rakyat kami," kata jurucakap Kementerian Luar, Le Thi Thu Hang.

Sementara itu, Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly yang melawat mangsa cedera di hospital berkata, bas itu dipercayai telah menyimpang dari laluan yang dijamin oleh pasukan keselamatan.

Dalam perkembangan berkaitan, sekurang-kurangnya 40 suspek militan ditembak mati dalam tiga operasi berasingan di Sinai Utara dan Giza.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Dalam Negeri bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada kesemua mereka ada kaitan dengan serangan bom tersebut. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!