Puji keputusan kerajaan Johor mengenai tulisan jawi

(Gambar kecil, Amiruddin)
(Gambar kecil, Amiruddin)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Persatuan Penulis Johor (PPJ) menyifatkan keputusan kerajaan negeri menggunakan tulisan jawi dalam urusan agama Islam mulai tahun depan di negeri ini sebagai langkah tepat, berani dan terpuji.

Ketua Satu PPJ, Amiruddin Md Ali Hanafiah berkata, pihaknya berpendapat langkah itu tepat kerana tulisan jawi merupakan aksara yang digunakan sejak zaman Batu Bersurat lagi.

"Malah tulisan jawi merupakan tulisan warisan bagi bahasa Melayu, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu sebagaimana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"PPJ berpendapat, kerajaan Johor berani membuat keputusan menggunakan tulisan jawi berikutan penggunaan tulisan ini menjadi isu apabila diperkenalkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah rendah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Amiruddin berkata, PPJ berharap pengumuman dibuat oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi diterima secara terbuka oleh semua pihak khususnya masyarakat di negeri ini.

Katanya, pihak persatuan juga berpendapat penggunaan tulisan jawi adalah langkah terpuji kerana Johor bersedia menjadikan tulisan jawi sebagai milik masyarakat tanpa mengira kaum.

"PPJ mahu agensi luar bandar di Johor seperti Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Felda juga menggunakan tulisan jawi dalam urusan rasmi.

"Sehubungan itu, sebagai langkah awal PPJ juga berpendapat semua papan tanda yang ada kaitan dengan agama Islam segera menggunakan tulisan jawi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi memastikan ia benar-benar dilaksanakan secara berkesan, PPJ menyarankan semua pegawai kerajaan di Johor bersama menggunakan tulisan jawi dalam memartabatkan tulisan warisan itu.

"PPJ yakin dengan penggunaan tulisan jawi akan menjadi titik awal menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu di rantau ini.

"PPJ merakamkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan kerajaan Johor yang akan menjadikan Johor sebagai pelopor tulisan jawi dalam urusan rasmi kerajaan khususnya tentang hal agama Islam," katanya.

Selain itu, Amiruddin turut menyampaikan cadangan PPJ agar kerajaan negeri menerbitkan kembali majalah Warta Johor yang diedarkan ke masjid sekitar tahun 1970-an sebagai wadah mendampingi rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMASKINI] Tulisan jawi dalam urusan agama Islam di Johor tahun depan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!