Ahli Parlimen DAP tak setuju UMNO diharamkan
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kepong dari DAP, Lim Lip Eng berpendapat UMNO yang merupakan parti Melayu tertua di Malaysia tidak harus diharamkan hanya kerana kesalahan dilakukan pemimpinnya.
Menerusi satu kenyataan media, beliau berkata Pakatan Harapan (PH) harus membenarkan UMNO terus hidup di persada politik negara atas nama demokrasi namun politik kotornya harus dibanteras sebaiknya.
“Sebaliknya, kerajaan harus menggesa pihak berkuasa menyiasat sumber dana yang masih dinikmati pemimpin UMNO.
“Kerajaan PH harus bertindak bijak dengan memberikan masa yang cukup untuk UMNO memperbaiki kesalahannya. Pada masa sama, ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) perlu berurusan dengan UMNO dan memberi panduan kepada parti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang mempersoalkan mengapa UMNO masih beroperasi dan tidak diharamkan meskipun pemimpinnya banyak melakukan kesalahan.
ARTIKEL BERKAITAN: Jawatankuasa Disiplin UMNO siasat Hishammuddin
Tambah Lip Eng, pihak tertentu pasti akan mengambil kesempatan sekiranya UMNO diharamkan dan menyalahkan DAP serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina yang lain sekiranya berlaku perkara sedemikian.
“Sebahagian pemimpin UMNO pasti akan menuduh DAP dan NGO Cina yang lain sebagai dalang di sebalik pembatalan pendaftarannya meskipun ia dilakukan mengikut proses yang profesional dan berlandaskan undang-undang oleh ROS.
“Sesetengah kumpulan pula akan menggunakan pembatalan pendaftaran UMNO untuk memainkan sentimen agama dan perkauman dan kesannya negara kita akan lebih berpecah belah," katanya.
Jelasnya, sekiranya PH mahu memenangi hati ahli UMNO dan penyokongnya, kerajaan perlu memberi tumpuan menyediakan peluang pekerjaan mencukupi bagi rakyat biasa untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.
“Ahli UMNO secara automatik akan meninggalkan parti apabila keadaan hidup mereka diperbaiki di bawah kerajaan PH,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!