Pendaki warga emas cedera
GEORGE TOWN - Seorang lelaki warga emas cedera selepas terjatuh ketika sedang mendaki di hutan lipur Bukit Jambul, di sini hari ini.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Wan Chik Ariffin Md Ismail berkata, dalam kejadian pukul 9.20 pagi itu, lelaki berusia 74 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian pergelangan kaki kiri menyebabkan dia tidak boleh berjalan.
"Sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak dikejarkan ke lokasi kejadian dan mangsa dibawa turun hampir satu kilometer dari lokasi dia terjatuh ke kaki bukit oleh pasukan kami.
"Pihak bomba mengambil masa lebih sejam untuk membawa turun mangsa ke kaki bukit sebelum lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, semasa kejadian, mangsa sedang mendaki di kawasan itu bersama beberapa rakannya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!