Sana sini boikot siapa nak beli nanti?
KUALA LUMPUR - Kempen memboikot produk bukan Muslim dilihat tidak membawa manfaat malah tidak menguntungkan mana-mana pihak di negara ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebagai negara berbilang kaum, semua rakyat perlu hidup saling melengkapi termasuk saling membantu dalam isu penjenamaan ekonomi sesama etnik.
"Malaysia sebuah negara berbilang kaum, budaya teras kepada kemakmuran negara ini adalah saling hormat dan mempercayai termasuk dalam perkara ketika kita menjalankan urusan ekonomi.
"Dan kalau sana sini boikot nanti sapa nak beli? Saya tengok jalan penyelesaian terbaik adalah di mana ada kekuatan kita manfaatkan, ada kelemahan kita usaha baiki, bukan dengan cara boikot," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutup karnival I-Keep di sini hari ini.
Katanya, sebagai rakyat Malaysia kita perlu saling memahami dan saling menyokong.
"Kita perlu manfaatkan kekuatan kita bersama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jom kempen bantu ekonomi Muslim
Mengulas lanjut katanya, setakat ini perkembangan isu boikot ini tidak memberi sebarang impak.
"Setakat ini kita belum menerima maklum balas sama ada ia telah berjaya atau beri kesan, saya masih berurusan dengan persatuan, pertubuhan pemborong dan peruncit.
"Ia macam biasa bahkan pertubuhan-pertubuhan perniagaan ini dianggotai oleh pelbagai kaum mereka tiada langsung bangkit pada saya kesan boikot," katanya.
Sebelum ini, Kempen Membeli Produk Muslim anjuran Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dan Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) bukan berniat untuk memboikot produk bukan Muslim di Malaysia.
Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata, kempen tersebut selain bertujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam, ia juga bertujuan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.
Menurutnya, lambakan produk tidak halal dalam pasaran semakin membimbangkan dan Ummah berpendapat sudah tiba masanya kempen berkenaan digerakkan bagi membendung masalah itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!