MyGift dijenamakan semula sebagai Yayasan UMP

MyGift akan dijenamakan semula menjadi Yayasan UMP untuk membantu lebih ramai pelajar.
MyGift akan dijenamakan semula menjadi Yayasan UMP untuk membantu lebih ramai pelajar.
A
A
A

KUANTAN - MyGift yang diperkenalkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk kebajikan pelajar akan dijenamakan semula sebagai Yayasan UMP.

Langkah tersebut sebagai usaha memperkemas, menyusun semula dan memperkenalkan semula MyGift sebagai jenama yang dikenali ramai, sekali gus meningkatkan mutu perkhidmatan serta fungsinya.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Datuk Md Sharif Shamsudin berkata, fungsi MyGift adalah untuk membantu pelajar cemerlang dan pelajar B40.

Menurutnya, apabila dijenamakan semula, dana yang diperlukan dan dikumpul akan bertambah besar serta bantuan disalurkan lebih meluas.

"MyGift akan dijenamakan semula menjadi Yayasan UMP dan dijangkakan akan mula beroperasi dengan jenama baru selewatnya awal tahun hadapan.

"Untuk itu setahun kita memerlukan dana sebanyak RM7.5 juta untuk merealisasikan pelbagai program bantuan dan kebajikan.

Sebahagian pelajar yang menerima bantuan menerusi program MyGift diperkenalkan UMP.
Sebahagian pelajar yang menerima bantuan menerusi program MyGift diperkenalkan UMP.

"Dana diperoleh daripada beberapa sumber iaitu keuntungan UMP, sumbangan rakan kongsi contohnya daripada Bank Rakyat, syarikat korporat, bekas pelajar dan orang ramai," katanya pada majlis penyampaian insentif di Dewan Astaka UMP, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr. Wan Azhar Yusoff berkata, sempena pendaftaran pelajar baharu sesi 2019/2020, MyGift memperuntukkan RM69,000 untuk 69 pelajar terpilih.

"Seramai 17 daripadanya adalah pelajar B40 menerima skim bantuan insentif Pendidikan UMP menerusi program MyGift berjumlah RM1,000 bertujuan meringankan beban pelajar untuk mendaftar.

"Selebihnya menerima bantuan awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat dan Insentif Kecemerlangan Matrikulasi," katanya.

Sempena pendaftaran itu, seramai 2,291 mahasiswa baharu ditawarkan mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!