Ops bersepadu padam kebakaran 16 hektar hutan dihentikan

Gambar fail
Gambar fail
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Operasi bersepadu bagi memadam kebakaran 16 hektar hutan di Jalan Tanjung Kupang dekat Gelang Patah, yang terbakar sejak 21 Ogos lepas dihentikan mulai hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata, keputusan itu diambil susulan daripada status pemadaman kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, yang kini sudah mencapai 99 peratus.

Katanya, penghargaan harus diberikan kepada JBPM, agensi, sukarelawan, serta orang ramai yang bertungkus lumus memadam kebakaran semenjak hari pertama operasi dilancarkan.

Bagaimanapun, menurutnya rondaan dan pemantauan akan terus dilakukan JBPM dan pihak berkuasa yang lain di sekitar kawasan berkenaan, bagi membendung sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar juga telah mengambil langkah proaktif, dengan menempatkan alat pemantau kualiti udara ‘Mobile Enviromental Dust Monitoring’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Adang.

“Langkah ini dapat memberi manfaat secara langsung kepada sekolah setempat (termasuk SK Tanjung Adang bersebelahan SMK Tanjung Adang), untuk memantau kualiti udara secara terus, memandangkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula 4 September,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di Dewanraya Tanjung Adang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad dan Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Menurut Tan, alat pemantauan kualiti udara itu akan diletakkan di SMK Tanjung Adang sehingga peperiksaan UPSR di sekolah berdekatan tamat.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yahaya berkata, beliau tidak menolak kemungkinan insiden sama berulang di kawasan berkenaan, berdasarkan faktor cuaca panas dan sekiranya berlaku aktiviti pembakaran terbuka melibatkan penduduk sekitar.

“Kawasan sekitar ini juga banyak semak samun yang kering. Saya nasihatkan orang ramai termasuk penduduk di sini supaya, sekiranya terlihat kebakaran terus bertindak, jangan tunggu sehingga bomba tiba.

“Harap insiden ini juga dapat menjadi pengajaran kepada penduduk, walaupun bakar sampah di belakang rumah, tetapi bara api itu boleh dibawa angin,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!