Zuraida cadang undang-undang ke atas penyebar kebencian
SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan kerajaan membuat satu undang-undang yang lebih tegas dan keras ke atas pesalah perkauman dan penyebar kebencian.
Menurutnya, pelaksanaan undang-undang itu sangat penting kerana kebelakangan ini seolah-olah ada usaha terancang yang amat ketara bagi menyalakan api perkauman di negara ini.
Katanya, isu perkauman dan sentimen keagamaan jika tidak dikawal akan merebak ke satu tahap yang mengakibatkan kebencian dan seterusnya boleh memusnahkan negara.
"Jadi tiba masanya komitmen dan keseriusan pihak kerajaan bagi menangani hal yang membahayakan ini diperkukuh.
"Marilah kita maju dan membangun tanpa rasa curiga. Kita semua anak Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, usaha ke arah integrasi rakyat dalam portfolio perumahan juga sudah berjalan dan giat dilaksanakan.
Menurutnya, beliau amat serius dalam memastikan setiap kawasan perumahan yang dibina menitikberatkan pembangunan komuniti termasuk pembangunan fizikal serta aktiviti kemasyarakatan yang termaktub dalam Dasar Komuniti Negara dan Dasar Perumahan Negara.
Katanya, kini semua pihak dapat menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia dapat duduk bersama dalam sebuah komuniti yang berbilang bangsa dan latar belakang tidak berasing-asingan dalam pembangunan negara.
"Hakikat negara ini terbina dari keringat dan usaha pelbagai kaum semenjak merdeka tidak boleh dinafikan sesiapa, malah kemerdekaan itu digenggam hasil perjanjian dan idealisme pemimpin terdahulu bahawa negara ini mengiktiraf pelbagai bangsa dan agama sebagai warganya.
"Marilah kita berpegang kepada realiti ini dan bebaskanlah jiwa kita dari belenggu sempit dalam naratif perkauman lapuk yang menjadikan pembelaan kaum sebagai alasan untuk kita saling mencurigai," katanya.
Zuraida berkata, pentadbiran kerajaan lalu yang mentadbir dengan bergayut pada dahan perkauman yang rapuh wajar dilempar jauh.
Katanya, rakyat perlu membuang segala hipokrasi yang menyebut perpaduan di mulut tetapi daki perkauman masih menebal di dada.
"Jika rakyat tertanya-tanya mengapakah begitu payah untuk bersaing dengan negara tetangga dalam keadaan mereka yang dahulunya ketinggalan daripada Malaysia, jawapannya ialah ketika mereka melonjak ke awan memeluk demokrasi tulen, rakyat Malaysia semakin tenggelam diberatkan oleh rantai perkauman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!