Serangan Hizbullah, Israel tidak libatkan kawasan MALBATT
SHAH ALAM - Serangan balas roket dan tembakan artileri antara tentera Israel dan Hezbullah di sempadan Lubnan semalam tidak melibatkan kawasan penugasan Pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-6 (MALBATT 850-6).
Kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia memaklumkan, kejadian sekitar jam 4 petang waktu tempatan itu hanya memberi kesan kepada petugas United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) yang berada di sempadan Israel-Selatan Lubnan (Blue Line).
"Bagaimanapun pihak Markas UNIFIL telah mengeluarkan arahan untuk semua batalion negara-negara terlibat termasuk Malaysia melalui pasukan MALBATT 850-6 berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.
"Setakat ini MALBATT 850-6 masih dalam keadaan terkawal dan selamat serta melaksanakan rutin operasi yang meliputi rondaan di sekitar kawasan tanggungjawab dan kawalan kem seperti biasa," katanya.
kumpulan pertama pasukan pengaman MALBATT 850-6 berlepas ke Lubnan pada 6 September tahun lalu bagi menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selama setahun.
Pasukan MALBATT 850-6 dianggotai 850 anggota tentera termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai kewangan Kementerian Pertahanan.
ARTIKEL BERKAITAN: Israel, Hizbullah saling balas serangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!