D7 bongkar pusat judi online

Mohamad (kiri) bersama Khaizam menunjukkan antara barang yang dirampas. ( Gambar Bawah Kanan ) Antara individu yang ditahan dalam Ops Dadu di sebuah premis di Ampang.
Mohamad (kiri) bersama Khaizam menunjukkan antara barang yang dirampas. ( Gambar Bawah Kanan ) Antara individu yang ditahan dalam Ops Dadu di sebuah premis di Ampang.
A
A
A
AMPANG - Kerap berpindah-pindah bagi menyukarkan kegiatan dikesan pihak berkuasa.

Itu antara modus operandi sebuah premis di Jalan Ampang Putra, di sini, yang menjadi pusat operasi perjudian online.

Liciknya, premis ini beroperasi sejak empat bulan lalu dengan mengiklankan beberapa laman web dan mencari pelanggan melalui panggilan telefon, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi media sosial.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Selangor, Asisten Komisioner Mohamad Abd Hamid berkata, Ops Dadu bermula jam 1 petang ini dijalankan sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor yang diketuai Pegawai Turusnya, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin.

Menurutnya, seramai tujuh individu berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun membabitkan penyelia, pekerja serta tukang cuci ditahan.

"Tangkapan termasuk membabitkan seorang wanita warga Indonesia.

"Polis telah rampas lapan komputer, komputer riba (6 unit), telefon bimbit (11), kad prepaid 92 keping dan sekeping kad bank," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas kegiatan perjudian online ini, Mohamad berkata, pelanggan berminat dengan tawaran sindiket ini akan berkomunikasi semula melalui teks dan bila bersetuju, pelanggan diberi satu akaun dan kata kunci tertentu sebagai syarat bagi mengakses permainan itu.

Katanya, pelanggan turut diberi nombor akaun untuk meletak wang pertaruhan.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, siasatan mendapati pusat judi ini mengaut untung RM50,000 dalam tempoh 19 hari.

"Kita juga mendapati bahawa pekerja premis ini akan turut diberi komisen 10 peratus setiap pelanggan yang berjaya diperoleh.

"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!