Sampai bila mahu ‘bercakar’

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA unik negaranya. Bukan mahu cakap besar, tapi itu hakikatnya.

Bermacam bangsa dengan budaya dan adat menjadi tunjang untuk Malaysia terus membuktikan sebagai antara sebuah negara yang masih aman serta harmoni. Kita ada Melayu, Cina, India dan tidak lupa juga suku kaum lain khususnya di Sabah dan Sarawak yang setia bersama Malaysia.

Mengapa kita perlu setia kepada negara? Ingatlah Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan. Kita dididik dan dibesarkan sebagai warga Malaysia yang kenal apa itu bersatu padu, persefahaman, kerjasama, keharmonian serta keutuhan.

Lirik lagu Negaraku indah melodinya. Negaraku, tanah tumpahnya darahku. Kita berdiri hormat bila berkumandang lagi itu.

Namun, hari ini, negara mula dicuit dengan isu-isu yang mencetuskan api kemarahan ramai pihak. Pelik juga, isu seperti itu macam tidak reti untuk reda.Bagaimana ia boleh terjadi?

Siapa yang dungu terlalu berkepentingan sibuk hendak mempertikai perkara yang sudah lama dibentuk sebagai perpaduan semua bangsa dan agama?

Macam-macam hal timbul. Ada yang sengaja mencari populariti dengan menghasilkan klip video lagu seperti menyentuh sensitiviti agama, tidak cukup dengan hal itu timbul pula isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Tidak habis lagi isu itu mereda, provok lagi dengan isu tulisan khat, jawi, hina institusi Raja serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Mac lalu, dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebook.

Tidak cukup itu, pada 24 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataan berkata, Pengerusi Persatuan Dong Zong, Tan Tai Kim dan Setiausaha Persatuan, Ng Chai Heng telah dipanggil ke Bukit Aman pada 22 Ogos untuk dirakam percakapan mereka berhubung isu tulisan jawi.

Justeru, Abdul Hamid memberi amaran agar orang ramai tidak memainkan isu sensitif yang boleh memecah-belahkan keamanan dan ketenteraman awam.

Dalam bulan kemerdekaan ini, adakah masyarakat kita yang berbilang bangsa sedar isu-isu remeh ini mampu mencetuskan perpecahan. Sebenarnya apa yang kita mahu?

Tidak cukupkah apa yang kita miliki? Tapi, masih ada lagi masyarakat yang cetek pemikiran tergamak memasang bendera kebangsaan terbalik.

Adakah itu jati diri seorang bangsa Malaysia yang lahir dan membesar dalam suasana Malaysia?

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah kerap dan tegas memberi peringatan supaya rakyat tidak sesuka hati mengeluarkan kenyataan atau tindakan berbaur perkauman yang sekali gus mencetus sensitiviti banyak pihak.

Ingatlah, fikirlah sebelum membuat sebarang perlakuan yang boleh dikenakan tindakan tegas.

Ayuh warga Malaysia. Abaikanlah serangan-serangan yang sengaja diukir pihak tidak bertanggungjawab yang boleh dianggap sebagai musuh negara itu semata-mata mahu mencari publisiti mahupun kerana kepentingan tertentu. Bermacam taktik digunakan khususnya melalui media sosial.

Ada yang sengaja menyunting gambar dan video untuk menambah follower dan like yang banyak.

Adakah mereka tidak fikir dan sedar itu hanya mengeruhkan lagi keadaan, sedangkan itu mungkin hanya isu kecil yang boleh segera dibaiki, namun dibesarkan untuk mengapi-apikan diri sebagai pembenci. Tangan macam ‘sotong’ sentiasa bergerak untuk menaip di keyboard.

Hendak tunjuk diri hebat agaknya.Bersyukurlah dan berterima kasihlah kepada nenek moyang kita yang bersatu untuk memerdekakan negara hingga secara sahnya Malaysia menyambutnya setiap tanggal 31 Ogos.

Indahnya, tahun ini kita kecap kemerdekaan genap 62 tahun. Banyak kejayaan telah dikecapi bukan sahaja kaum Melayu, tetapi Cina, India dan semua kaum. Mereka berjaya dalam semua bidang sukan, korporat, keusahawanan dan pendidikan.

Kita tidak minta untuk dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India.

ALLAH ciptakan kita dengan banyak kelebihan dan sekiranya kita bersatu, tidak mustahil Malaysia lagi hebat daripada negara lain. Kalau negara stabil, sudah pasti ekonomi kita juga kukuh dan mampu membentuk suasana yang pastinya dicemburui negara lain.

Lemparkan senyuman, berilah salam. Kita semua satu Malaysia. Gaduh dan bercakaran hanya bikin kita penat dengan dendam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!