Pemuda Bersatu perlu lahirkan lebih ramai pemimpin

Akmal Maradzi
Akmal Maradzi
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemuda Bersatu memerlukan lebih ramai karakter pemimpin seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi menarik minat golongan muda menyertai parti memperjuangkan ketuanan Melayu itu selain menjuarai isu membabitkan golongan belia di negara ini.

Ketua Pemuda Bersatu Lumut, Akmal Maradzi berkata, kehadiran generasi pelapis kepimpinan baharu Pemuda Bersatu pastinya akan membuka peluang kepada idea-idea segar dalam mencorakkan polisi kerajaan dan masa depan negara yang lebih maju dan terpelihara.

“Armada perlu diberi saluran yang luas untuk menyampaikan hasrat, sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta dan badan bukan kerajaan yang mampu menjadi pelapis dan menerajui kerajaan dengan baik sekiranya diberi pendedahan kepada struktur serta urus tadbir kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya, Pemuda Bersatu tidak kemaruk jawatan namun cukup dengan pengiktirafan melalui lantikan dalam mana-mana jawatankuasa kerja bagi membantu melicinkan proses pentadbiran kerajaan.

Bagi mencapai tujuan tersebut, beliau berkata, Pemuda Bersatu perlu diperkuatkan dengan mengetengahkan bakat-bakat baharu menyertai sayap itu baik dari peringkat desa hingga di luar negara.

Akmal menarik perhatian, Bersatu memerlukan mereka yang betul-betul bekerja keras dan bersedia berperang apabila diperlukan termasuk di dalam alam maya bagi mencapai matlamat perjuangan sekaligus terus relevan kepada masyarakat.

"Hari ini juga kita perlu melahirkan lebih ramai Syed Saddiq sebagai pelapis masa depan demi kepimpinan.

"Jangan berakhirnya Syed Saddiq, tiada lagi pengganti yang setanding atau lebih baik daripadanya. Kita perlu lahirkan 1,000 lagi Syed Saddiq," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!