Bayi dilahirkan wanita mati otak sihat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PRAGUE - Seorang bayi selamat dilahirkan di Republik Czech oleh wanita yang mati otak selama hampir empat bulan.

Proses kelahiran bayi perempuan itu dibuat menerusi prosedur pembedahan caesarean pada usia kehamilan 34 minggu pada bulan lalu, 117 hari selepas ibunya disahkan mati otak.

Ketua pakar bius, Roman Gal di Hospital Universiti di bandar Brno memaklumkan bayi seberat 2.13 kilogram itu adalah salah seorang bayi paling berat dan paling matang dilahirkan wanita yang berada dalam keadaan sedemikian.

Ibu bayi berkenaan disahkan mati otak selepas mengalami pendarahan pada April lalu ketika kandungannya berusia 16 minggu.

Doktor memastikan jantung, paru-paru, buah pinggang dan organ lain wanita itu terus berfungsi sambil memantau janin.

"Jururawat turut 'berkomunikasi' dengan fetus tersebut manakala neneknya sering membacakan kisah dongeng. Ahli terapi turut membantu menggerakkan kaki wanita itu untuk simulasi berjalan," ujar Gal.

Difahamkan, sistem sokongan hayat wanita itu dimatikan sejurus anaknya dilahirkan.

Pada 2016, seorang bayi lelaki dilahirkan di Portugal oleh ibu yang mengalami keadaan sama. - AFP

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!