PPZ- MAIWP lancar Tabung Didik Zakat
KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) perkenalkan program Tabung Didik Zakat kepada anak-anak berusia 18 tahun dan ke bawah.
Penolong Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Nor Mukshar Harun berkata, program dilancarkan awal Disember lalu adalah langkah awal mendidik anak-anak untuk mengenali erti zakat.
Menurutnya, pemohon perlu membuka akaun serendah RM10 bagi membolehkan data maklumat peribadinya direkodkan PPZ-MAIWP.
"Pendaftaran RM10 itu akan diberikan tabung adalah sebagai simbolik dan mereka hanya perlu menjalankan tanggungjawab tersebut apabila tiba masanya nanti.
"Pemegang akaun yang mendaftarkan diri tidak diwajibkan membayar zakat secara tahunan sebaliknya ia hanya kegunaan penyimpanan maklumat yang direkodkan dalam sistem.. Apabila nak bayar nanti, rekod maklumat sudah ada," katanya.
Katanya, PPZ-MAIWP menyasarkan pendaftaran akaun sekurang-kurangnya 1,000 pemohon dalam tempoh tiga bulan.
"Pelancaran yang dibuat Disember ini sebagai mengambil peluang cuti sekolah disamping ramai pembayar zakat mengambil masa hujung tahun untuk menunaikan zakat.
"Permohonan boleh dibuat terus di 11 kaunter zakat di Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan serta Kuala Lumpur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!