Ibu cekik anak hingga mati kerana tiada duit beli makanan
RUSIA - Gara-gara tidak mampu membelikan makanan untuk bayi lelakinya, seorang ibu tunggal di Rusia sanggup mencekik anaknya hingga mati dan mengebumikan mayat di bawah timbunan baja.
Ketika soal siasat dilakukan Yulia Khabitova, 28, mengaku membunuh anaknya, Timur, 1, malah turut menunjukkan kepada pihak polis bagaimana pembunuhan dilakukan.
Pada awalnya, Khabitova yang turut mempunyai seorang anak perempuan berusia 5 tahun mendakwa bayi lelakinya itu hilang namun akhirnya mengakui tindakan kejamnya itu.
"Saya mencekiknya, membungkusnya di dalam selimut dan kebumikan dia di bawah timbunan baja.
"Saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membelikannya makanan," katanya dalam tangisan.
Difahamkan, Khabitova baru saja mendapat kerja namun masih tidak mampu untuk menyediakan keperluan yang mencukupi bagi Timur.
Menurut ibu Khabitova, anaknya itu seorang yang rajin bekerja dan sangat menyayangi anak-anaknya.
Jika disabitkan bersalah, Khabitova bakal berdepan hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan pembunuhan yang disengajakan. - Daily Mail
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!