Dua pusat rawatan dibuka sepanjang UPSR di Pasir Gudang
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Johor akan membuka dua pusat rawatan sementara di Pasir Gudang sebagai langkah berjaga-jaga khusus bagi pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang bermula esok.
Exco Kesihatan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, inisiatif itu juga dilakukan bagi memastikan murid-murid berada dalam kawalan terbaik sekiranya berlaku lagi kejadian gangguan kesihatan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, dua pusat rawatan lengkap bersama petugas itu akan ditempatkan di Klinik Kesihatan (KK) Masai dan Pasir Gudang.
“Kita akan berada dalam keadaan siap siaga, dua pusat rawatan juga akan dibuka dan sekiranya ada masalah murid ini akan terus dibawa ke sana.
“Jika berlaku lagi, pemeriksaan akan dilakukan dengan serta-merta,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (Oppi) Negeri Johor di Taman Damai Jaya di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang akan memberi tumpuan kepada 12 sekolah kebangsaan (SK) dikenal pasti lokasi hotspot insiden pencemaran udara sepanjang UPSR.
Timbalan PPD Pasir Gudang, Md Yunan Abd Majid berkata, ia sebagai langkah pencegahan bagi memastikan kelancaran sepanjang peperiksaan utama itu berlangsung.
Selain itu, murid darjah satu hingga enam bagi 12 sekolah diberikan tumpuan itu juga turut diberi cuti untuk memberi ruang kepada calon-calon UPSR menduduki peperiksaan dengan keadaan yang lebih diberi perhatian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!