Tiga sahabat kantoi jual dadah 'RM10 sekor'
KOTA BHARU - Tiga lelaki yang sedang leka membungkus dadah jenis heroin dengan menggunakan kod bahasa “RM10 sekor” tumpas dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Budor di sini, awal pagi semalam.
Heroin dengan anggaran berat 55.73 gram bernilai RM14,500 tersebut dirampas disusuli dengan penahanan tiga sahabat berusia antara 31 hingga 44 tahun.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 12.10 pagi itu dilakukan atas maklumat dan risikan sepasukan polis serta pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kota Bharu.
“Setiap tiub penyedut minuman diisi sebanyak 0.07 gram heroin dan popular dengan nama kod “sekor” dalam kalangan penagih dadah.
“Satu tiub heroin ini dijual dengan harga RM10 dan jumlah sebanyak tujuh botol heroin ini mampu menampung penggunaan kira-kira 200 penagih dalam satu-satu masa bergantung kepada jumlah pengambilan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak empat bulan lalu dan diperoleh bekalan heroin tersebut dari negara jiran.
“Kumpulan ini diketuai suspek pertama yang dikenali sebagai Haa dan aktif memasarkan bekalan dadah tersebut di tiba kampung Sungai Budor, Atas Paloh dan Sungai Keladi Kota Bharu.
“Ketiga-tiga suspek positif dadah jenis opiat dan mempunyai rekod lampau antara dua serta tiga kes membabitkan kesalahan dadah,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun yang positif dadah jenis metamphetamine ditahan di sebuah rumah di Tanjung Mas di sini.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai beg berzip dalam seluar dalam dipakai suspek utama di dalamnya mengandungi 516 dadah jenis pil kuda dalam anggaran berat kasar 50.5 gram bernilai RM5,160 dirampas.
“Kelima-lima suspek dikenakan perintah reman selama seminggu sehingga 5 September dan 8 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!