Tiga sahabat beza kaum tapi sekepala

Persahabatan tiga sekawan berbeza kaum tetap utuh antara Baiti (kanan), Lauren (tengah) dan Kathleen.
Persahabatan tiga sekawan berbeza kaum tetap utuh antara Baiti (kanan), Lauren (tengah) dan Kathleen.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dalam suasana topik perpaduan dan keretakan hubungan antara kaum di negara ini terus hangat diperkatakan, tiga sekawan ini membuktikan keharmonian antara kaum terus direalisasikan.

Lauren Yee, 29; Kathleen Ann Kili, 28, dan Norbaiti Phaharoradzi, 29, yang bertemu ketika bertugas sebagai wartawan di sebuah akhbar bahasa Inggeris di Johor Bahru sekitar 2012 sehingga kini masih memelihara silaturahim itu meskipun sudah tidak sebumbung.

Mereka percaya semua orang boleh bersahabat walaupun berbeza kaum tanpa sebarang prejudis terhadap warna kulit dengan membuang jauh sifat prasangka buruk. Semuanya bermula dengan niat.

Malah, mereka sependapat mengatakan cara pemikiran rakyat Malaysia perlu diubah bagi memastikan keharmonian dan perpaduan terus dipelihara di negara ini dengan pendidikan di rumah mahupun sekolah menjadi kunci utama.

Menurut Lauren yang kini bertugas sebagai Pegawai Khas Exco Johor, Liow Cai Tung, persahabatan berbeza budaya membuka ruang kepada mereka untuk saling mengenali, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Lauren, Kathleen dan Baiti mengimbau kembali kenangan di awal-awal perkenalan mereka.
Lauren, Kathleen dan Baiti mengimbau kembali kenangan di awal-awal perkenalan mereka.

"Saya seronok boleh kongsi cerita apabila kawan-kawan tanya tentang perayaan Cina seperti tentang kenapa kami buat kek bulan dan sebagainya. Saya juga belajar tentang sambutan Krismas dari Kathleen.

"Malah apabila bulan puasa saya turut sama puasa. Pernah saya berpuasa sampai dua minggu ikut kawan-kawan, betul-betul tak makan dan minum sebelum Maghrib," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Sering kongsi pendapat

Sementara itu, Kathleen yang berdarah campuran India Cina berkata, mereka sering berkongsi pendapat tentang segala perkara termasuk berkaitan pekerjaan dan peribadi selain meluangkan masa bersama menikmati makanan kegemaran masing-masing.

"Kami kongsi idea, pendapat daripada masalah kerja sampailah isu peribadi. Kebetulan kami tinggal pun di kawasan Tebrau, jadi kami selalu lepak di kedai mamak.

"Pada saya nak berkawan dengan sesiapa pun bukan masalah, tak perlu tengok warna kulit. Apa yang penting kita nak atau tak sebab peluang itu ada banyak. Kita yang pilih, cari persamaan," katanya.

Lauren menunjukkan kemahiran menulis jawi.
Lauren menunjukkan kemahiran menulis jawi.

Baiti yang mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Nazri Ng, 31, berdarah campuran Melayu Cina membuka ruang kepadanya untuk berkongsi budaya dan adat Melayu kepada dua rakannya itu.

"Masa saya kahwin, Lauren jadi pengapit, pakai ceongsam dan kami ambil tema oriental wedding. Suami pakai samfu, saya pakai gaun tapi kami bersanding guna adat Melayu.

"Dari situ, mereka tanya macam-macam soalan tentang adat dan budaya semasa majlis perkahwinan Melayu," katanya.

Sementara Nazri berpandangan, sifat buruk sangka dan sinikal terhadap kaum lain menjadi penghalang utama perpaduan di negara ini.

"Kalau minda kita terbuka, apa salahnya belajar bahasa lain? Apa ruginya belajar adat dan budaya bangsa lain? Kita boleh faham kebudayaan bangsa lain.

"Bila kita faham budaya dan agama masing-masing, tak wujudlah buruk sangka semua ini. Semua ini kena betulkan," katanya.

Terkejut kawan tak bercampur di sekolah

Lauren yang berasal dari Jasin, Melaka mendapat pendidikan awal di St George’s School, Brunei akui menerima kejutan budaya apabila berpindah ke Malaysia ketika berusia 15 tahun.

"Di Brunei, saya sudah terbiasa bercampur pelbagai bangsa, agama dan warganegara baik dalam kelas atau luar. Jadi kawan-kawan saya bukan Cina sahaja.

"Apabila balik ke Malaysia, saya sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya 2 sampai SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tapi awal-awal memang saya rasa kejutan budaya sebab masa itu kawan-kawan Melayu, Cina dan India tak bercampur.

"Mula-mula saya tak faham kenapa mereka makan di kantin duduk berasingan. Lama-lama saya faham, mungkin mereka selesa begitu. Jadi saya pilih untuk makan dengan semua orang. Hari ini, saya pergi makan dengan kawan Melayu, esok dengan kawan Cina, kemudian India.

"Generasi sekarang perlu lakukan sesuatu untuk baiki, masih belum terlambat. Tidak ada salahnya kita lepak bersama, belajar banyak bahasa mahupun sambut perayaan kaum lain," katanya.

Kenangan...Lauren menjadi pengapit ketika perkahwinan Baiti dan Nazri.
Kenangan...Lauren menjadi pengapit ketika perkahwinan Baiti dan Nazri.

Lauren rupa-rupanya juga mahir menulis dan membaca tulisan jawi yang dipelajari ketika di Brunei malah dia seronok kerana tidak ramai rakan sebangsanya menguasai kemahiran itu.

"Saya belajar tulisan jawi dari rumah pengasuh lagi sampai umur 15 tahun dan sekarang saya masih boleh menulis serta membaca. Kadang-kadang saya baca akhbar tulisan jawi, baca papan tanda jalan supaya saya tak lupa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!