Kembar empat akhirnya 'berpisah'

Dari kiri, Intan Nur Fazrina, Intan Nur Syazrina dan Intan Nur Liyana menunjukkan surat tawaran pengajian UUM kepada ibu bapa mereka.
Dari kiri, Intan Nur Fazrina, Intan Nur Syazrina dan Intan Nur Liyana menunjukkan surat tawaran pengajian UUM kepada ibu bapa mereka.
A
A
A

SINTOK - Kembar empat dari Kluang, Johor menangis selama empat hari selepas salah seorang daripadanya mendapat tawaran belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) manakala selebihnya di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok dekat sini.

Perkara itu dikongsi kakak sulung, Intan Nur Liyana Suhaimi, 20, yang menyatakan mereka tidak pernah berpisah sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, demi cita-cita, keempat-empat mereka terpaksa memendamkan hasrat tersebut dan memberitahu untuk saling berhubung bagi melepaskan rindu termasuk panggilan video.

"Kami sejak tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah memang tidak pernah berpisah dan tiba-tiba apabila mendapat tawaran belajar di universiti, hanya Intan Nur Diyana Suhaimi (kembar kedua) sahaja yang ditawarkan Sarjana Muda Pengurusan Maklumat dan Perpustakaan di UiTM, Rembau, Negeri Sembilan," katanya yang ditemui pada hari pendaftaran Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 2019/2020 UUM di Inasisi Petronas hari ini.

Dari kiri, Intan Nur Fazrina, Intan Nur Syazrina dan Intan Nur Liyana menunjukkan surat tawaran pengajian UUM.
Dari kiri, Intan Nur Fazrina, Intan Nur Syazrina dan Intan Nur Liyana menunjukkan surat tawaran pengajian UUM.

Intan Nur Liyana ditawarkan pengajian Sarjana Muda Kaunseling dengan kepujian bersama adik kembar keempatnya, Intan Nur Syazrina, manakala adik kembar ketiganya, Intan Nur Fazrina pula ditawarkan pengajian Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian.

Menurutnya, bukan sahaja berkongsi cita-cita sama, keempat-empat mereka juga turut berkongsi minat, makanan kegemaran dan hobi serupa.

Artikel Berkaitan:

"Keempat-empat kami memang banyak berkongsi perkara yang sama. Kami semua suka makan nasi goreng termasuk cita-cita sama untuk menjadi pensyarah," katanya.

Ketiga-tiga kembar tersebut adalah pelajar baharu dari 4,856 pelajar yang akan mengikuti 41 program pengajian bagi sesi akademik 2019/2020 di UUM.

Sementara itu bapa mereka, Suhaimi Sulaiman, 52, bersyukur dan bangga dengan kejayaan anak-anak kembarnya walaupun salah seorang mereka terpaksa terpisah dari adik-beradik lain.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat pasangan kembar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil (SSAJ) tersebut berjaya meraih kejayaan tersendiri selepas masing-masing mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2018.

Keempat-empat kembar itu mencatatkan keputusan dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) di antara 3.17 hingga 3.75.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!