Kedah sifatkan JDT tidak beretika!
PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) menyifatkan Juara Liga Super 2018, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak mempunyai etika dalam bola sepak apabila mengumumkan Akhyar Rashid sebagai pemain pasukan tersebut.
Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, Lang Merah masih lagi dalam rundingan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia untuk kembali ke meja perbincangan soal pampasan pemain tersebut.
Menurutnya, Akhyar masih lagi milik mereka dan kini situasi seolah-olah pemain itu seperti seorang isteri yang mempunyai dua suami.
"JDT menyatakan mereka adalah sebuah kelab yang profesional dan beberapa langkah dari pasukan lain namun dalam hal ini jelas mereka tidak beretika kerana KFA dan FAM masih lagi dalam rundingan.
"Selepas apa yang berlaku ini, kami akan membawa perkara ini ke Mahkamah Timba Tara Sukan (CAS) untuk tindakan selanjutnya selain beberapa langkah susulan lain yang akan menyusul," katanya ketika dihubungi Sukan Sinar.
Mohd Asmirul berkata, pihaknya sudah meramal apa yang akan berlaku namun tidak akan melatah sebaliknya menggunakan saluran undang-undang yang ada untuk mendapatkan hak mereka.
Menurutnya, jika beginilah sikap etika pengurusan JDT, pasukan tersebut tidak akan dihormati oleh mana-mana pihak selepas ini.
"Pihak media JDT juga tidak menghormati proses rundingan yang sedang dibuat oleh KFA dan FAM apabila memuatkan video berkenaan Akhyar ke laman Facebook rasmi mereka," katanya lagi.
Dalam pada itu Facebook rasmi KFA menegaskan Akhyar masih milik pasukan Kedah kerana setakat ini tiada proses penebusan kontrak oleh pemain dan pelepasan dilakukan menurut peraturan FAM, AFC dan FIFA.
Menurutnya, Sijil Pelepasan Pemain masih dibawah hak mutlak KFA dan status quo pemain kekal berkontrak sehingga 30 November 2019.
"Sebarang perlanggaran menandatangani dua kontrak pada masa yang sama, adalah penghinaan kepada FAM, pihak berkenaan akan menjadi asas aduan tatatertib oleh KFA. KFA dalam proses meneruskan tindakan ke CAS," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!