'Tak sangka anak, cucu rentung kemalangan'
TANJONG KARANG - "Saya sempat berpesan supaya berhati-hati memandu dan berhenti jika mengantuk, tapi tak sangka anak dan cucu maut dalam kemalangan," kata Rosely Marzuki, 65.
Rosely merupakan bapa kepada Muhd Ridzo Fadzly, 37, yang rentung bersama anaknya, Ahmad Ariffin, 2, apabila kenderaan dinaiki mereka bersama dua lagi ahli keluarga terbakar selepas merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 9.2 Lebuhraya Latar arah Kuala Lumpur di sini malam tadi.
Kemalangan turut mengakibatkan isteri Muhd Ridzo, Ku Nurul Amirah Ku Fazli, 33, parah manakala seorang lagi anak mereka, Danish, 2, cedera.
Rosely berkata, pesanan terakhir itu diungkapkan ketika Muhd Ridzo bersama isteri dan dua anak mereka bercuti di rumahnya di Sungai Baru Gunung, Alor Setar Kedah.
"Sebelum arwah anak bertolak ke rumah mentuanya di Tanah Merah Jitra, Kedah, saya beritahu berhentilah di mana-mana kalau mengantuk.
"Arwah bersama keluarganya singgah dahulu ke rumah mentua dan bertolak kira-kira jam 3 petang semalam dari rumah mentuanya ke rumah mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia yang sedang lena tidur dikejutkan isteri memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
"Salah seorang anak saya menghubungi isteri memberitahu anak dan cucu kami rentung dalam kejadian itu.
"Saya dan isteri kemudian bergegas siap dan terus ke Hospital Tanjong Karang bagi menuntut jenazah anak," katanya.
Rosely berkata, Muhd Ridzo yang merupakan anak sulung daripada lima beradik itu disifatkan sebagai seorang anak yang bertanggungjawab.
“Sepanjang hayat, saya akui arwah dikenali orang kampung, mesra dengan jiran dan rakan, tidak pernah marah dan cukup peramah.
"Malah, sudah menjadi amalan arwah menziarahi kedua-dua keluarga setiap kali pulang ke Kedah," katanya.
Sementara itu, rakan sekerja Muhd Ridzo, Ng Cheng Lim, 56, berkata, kehilangan Muhd Ridzo merupakan kehilangan besar kepada syarikat kerana arwah yang berjawatan sebagai pengurus pemasangan komited terhadap tugas.
"Saya mengenalinya sejak sembilan tahun lalu. Dia mudah berdamping dengan rakan sekerja dan tidak banyak kerenah.
"Arwah ibarat permata yang sukar dicari ganti. Dia merupakan contoh pekerja yang berdedikasi, namun tidak menyangka ajalnya sampai dulu," katanya.
Menurut Cheng Lim, Muhd Ridzo sepatutnya menghantar barang syarikat di Subang hari ini, namun hasrat itu tidak kesampaian.
Jenazah Muhd Ridzo dan Ahmad Ariffin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Baru Gunung, Alor Setar manakala Ku Nurul Amirah masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh (HSB).
Sementara itu, Danish, 2, dibawa pulang ke Sungai Baru Gunung, Kedah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, siasatan polis mendapati Proton Persona dipandu Muhd Ridzo hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar belakang sebuah treler.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila kereta terbabit dari arah Kedah menghala ke Kuala Lumpur.
"Muhd Ridzo dan anak lelakinya yang berada di tempat duduk hadapan tersepit serta gagal dibawa keluar sebelum kereta terbabit terbakar.
“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak rentung kemalangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!