Pemandu Viva putih mengaku 'culik' kanak-kanak
KOTA BHARU - Kes penculikan kanak-kanak akhirnya terjawab apabila pemandu kereta Perodua Viva putih tampil mengaku sebagai individu yang bertanggungjawab dalam kejadian tersebut.
Pemuda dari Bachok itu mengaku sebagai individu bersama seorang lagi rakannya dalam rakaman tular memaparkan seorang kanak-kanak berusia lapan tahun beruniform sekolah diculik di Jalan Kebun Sultan, di sini semalam.
Bagaimanapun, pemuda berkenaan, Abdullah Aqili Romeli, 28, berkata, rakaman tersebut hanyalah lakonan filem pendek yang dihasilkan oleh sebuah badan bukan kerajaan dari Pulau Pinang di lokasi tersebut Jumaat lalu.
“Saya adalah pelakon yang membawa kereta Perodua Viva dalam rakaman tersebut dan kejadian itu bukan penculikan sebenar, sebaliknya hanya dirakam untuk tujuan pertandingan filem pendek yang dianjurkan Kementerian Penerangan.
“Rakaman yang tular berdurasi 19 saat tersebut pula adalah sebahagian daripada sedutan filem yang keseluruhan berdurasi tiga minit 20 saat berkisarkan tentang perkauman,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah Aqili mengakui tidak tahu-menahu tentang rakaman visual tersebut dimuat naik di laman sosial sehinggalah melihatnya sendiri semalam dan berasa bertanggungjawab tampil meredakan kegusaran berikutan salah faham tersebut.
“Saya hanya berlakon dalam filem berkenaan dan dibayar dengan sejumlah wang tunai. Mengenai sedutan culik yang dimuat naik sehingga mengundang kebimbangan tersebut, saya tidak tahu dan hanya boleh mengesahkan rakaman itu adalah lakonan dan bukan kes culik sebenar.
“Saya juga tidak tahu sama ada ia adalah taktik promosi atau tidak dan saya sendiri terkejut apabila banyak laman yang berkongsi rakaman tersebut hingga disalah erti kepada kejadian culik sebenar, padahalnya hanya berlakon,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung kejadian culik terbabit.
“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sesuatu berita yang tidak sahih kerana tindakan itu adalah satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Hukuman mengikut Akta 588, (jika sabit kesalahan) adalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!