Duta Zimbabwe kongsi memori indahnya di Malaysia
KUALA LUMPUR - Keharmonian yang wujud dalam kalangan rakyat pelbagai etnik dan agama di Malaysia menjadi pengajaran paling bermakna diperolah Duta Zimbabwe ke Malaysia, Cuthbert Zhakata sepanjang sembilan tahun berkhidmat.
Zhakata yang akan meninggalkan Malaysia pada hujung minggu ini berkata, banyak kenangan manis di negara ini seperti keramahan rakan-rakan serta kelazatan pelbagai hidangan tempatan
"Saya berharap keharmonian kaum di Malaysia dapat dikekalkan. Pengajaran paling berharga di Malaysia ialah rakyat pelbagai etnik berbeza hidup dalam harmoni.
"Sudah tentu Malaysia terkenal dengan pelbagai jenis makanan. Saya telah mencuba semua, Ikan bakar, nasi kukus, nasi beriani dan 'hokkien mee," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perpisahan anjuran semua Duta Afrika dan Pesuruhjaya Tinggi di Kediaman Pesuruhjaya Tinggi Namibia di Titiwangsa di sini baru-baru ini.
Mengimbau memori peribadinya, Zhakata berkata pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah hari mempersembahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Zhakata yang bersara selepas 38 tahun berkhidmat berkata, Malaysia dan Zimbabwe sentiasa bersahabat terutamanya dengan sokongan yang diberikan ke atas negara ini di banyak forum antarabangsa.
"Malaysia sentiasa ada untuk kami dan pada masa sama sentiasa berusaha melatih rakyat kita melalui MTCP (Program Kerjasama Teknikal Malaysia). Kami mempunyai hubungan sangat baik dengan Malaysia," katanya.
Pada Jun, Zhakata mengetuai Duta dan Pesuruhjaya Tinggi lain dari negara Afrika dalam dialog meja bulat dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking serta ketua dan pegawai kanan agensi berkaitan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!