Bayi 'ajaib' lahir selepas 117 hari ibu koma

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BRNO: Seorang bayi perempuan dengan berat 2.13 kilogram dan berukuran 42 sentimeter selamat dilahirkan menerusi pembedahan dalam keadaan ibunya masih koma di Hospital Universiti Brno di sini 15 Ogos lalu.

Hospital itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, kelahiran tersebut mencatatkan rekod baharu kepada hospital tersebut kerana bayi di dalam rahim ibu yang sedang koma itu berjaya diselamatkan.

"Ibu bayi seorang wanita Republik Czech dimasukkan ke hospital April lalu selepas tidak sedarkan diri akibat diserang strok. Peluangnya untuk hidup ketika itu adalah tipis namun bayi dalam kandungannya yang berusia 15 minggu ketika itu boleh diselamatkan.

"Selama 117 hari bayi itu terus hidup di dalam rahim yang berisiko berdepan dengan pelbagai komplikasi itu juga dipercayai adalah rekod bagi kehamilan paling lama bertahan dalam ibu yang sedang koma." kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut, ibu terbabit diisytiharkan berada dalam keadaan koma sejurus selepas tiba di hospital di mana para doktor dengan segera memulakan perjuangan untuk menyelamatkan anaknya.

"Mereka meletakkan wanita berusia 27 tahun itu di bawah sokongan hidup secara tiruan untuk membolehkan kandungan terus bertahan.

"Mereka juga kerap menggerakkan kaki pesakit itu untuk mensimulasikan pergerakan seolah-olah sedang berjalan bagi membantu pertumbuhan anaknya," kata kenyataan itu.

Selepas kelahiran dalam minggu kehamilan ke-34, dengan kehadiran suami serta ahli keluarga yang lain, kakitangan perubatan memutuskan sambungan sistem sokongan hidup dan membenarkan ibu itu mati. - REUTERS

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!