Peniaga tiada lesen, MBJB keluar 99 notis

Mesyuarat Penuh MBJB yang berlangsung pagi tadi.
Mesyuarat Penuh MBJB yang berlangsung pagi tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengeluarkan 99 notis amaran kepada peniaga-peniaga di tiga buah kompleks beli-belah dalam operasi berasingan sejak Julai lalu.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Amran A Rahman berkata, notis tersebut sebagai peringatan kepada pemilik perniagaan supaya membuat permohonan lesen sah sebelum dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, mana-mana peniaga yang gagal memperbaharui lesen dan iklan sebelum 1 Januari 2020 bakal berdepan pembatalan lesen berkuatkuasa serta-merta.

"Tempoh pembaharuan lesen dibuka mulai 1 Oktober 2019 hingga 30 November 2019.

"Penalti 10 peratus akan dikenakan kepada mereka yang hanya memperbaharui lesen pada bulan Disember daripada kadar lesen semasa. Mana-mana yang gagal perbaharui lesen sebelum 1 Januari dibatalkan lesen serta-merta," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB hari ini.

Mengulas mengenai operasi tersebut katanya, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan MBJB telah melaksanakan tiga operasi berasingan sejak dua bulan lalu dengan operasi terbaharu pada 25 Ogos lepas.

Katanya, operasi berkenaan turut mensasarkan lot-lot tambahan di ruang legar kompleks bangunan serta kios-kios kecil pada sebahagian laluan kaki lima kompleks perniagaan.

"Saya ingin mengingatkan pemilik perniagaan agar memperbaharui lesen perniagaan dan iklan dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak dikenakan penalti atau pembatalan lesen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!