Paras air kritikal: BAB berlarutan selama sebulan

Wee Tse ketika melawat Empangan Machap Mac lalu.
Wee Tse ketika melawat Empangan Machap Mac lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengaktifan Bekalan Air Berjadual (BAB) susulan paras air kritikal yang berlaku di Empangan Machap dijangka berterusan sehingga 2 Oktober depan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu terpaksa diambil selepas melihat keadaan terkini Empangan Machap yang masih berhadapan cuaca panas berpanjangan dan kekurangan taburan hujan sejak dua minggu kebelakangan ini.

“Dianggarkan sejumlah 149,550 pengguna daripada 29,910 pemilik akaun sekitar Simpang Renggam, Layang-Layang dan Pontian Utara dijangka menerima kesan sepanjang tempoh gangguan air berkenaan.

“Bagi memastikan bekalan air bersih tetap disalurkan kepada pengguna, SAJ Ranhill akan mengaturkan pembekalan dengan kaedah tiga hari mempunyai air dan tiga hari lagi tidak, sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Dalam kenyataan sama, SPAN turut memaklumkan bahawa Empangan Lebam, Empangan Upper Layang dan Empangan Pulai juga sedang berada di bawah paras kritikal kerana mengalami masalah yang sama.

“Namun bekalan air di kawasan agihan terlibat masih terkawal melalui proses pengepaman air mentah yang diambil dari Empangan Seluyut.

“Air yang dipam ini akan disalurkan ke Empangan Lebam, Empangan Upper Layang dan Empangan Pontian Kecil bagi Empangan Pulai 2,” katanya.

Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah, selain harus bersedia menyimpan bekalan secukupnya sepanjang tempoh gangguan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!