Umat Islam tak pernah boikot produk bukan Islam
SHAH ALAM - Umat Islam tidak pernah memboikot produk bukan Islam, demikian tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali.
Sebaliknya menurut beliau, NGO Islam melancar kempen beli produk Muslim kerana ia ada kena mengena dengan hukum halal haram di sisi Islam.
"Pemimpin bukan Islam tidak perlu riuh rendah mengenai perkara ini, orang Islam berdiam diri walaupun di Malaysia diberi lesen judi arak dan pusat hiburan untuk orang bukan Islam.
"Trilion duit berputar dalam industri haram bagi umat islam. Islam agama Persekutuan dan majoriti rakyat Malaysia adalah orang Islam.
"Baiknya umat Islam dan pemerintah Malaysia membenarkan perniagaan yang haram di sisi Islam, tapi diizinkan kepada orang bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, umat Islam banyak pantang larang tidak seperti orang bukan Islam dan setiap makanan yang dimakan mesti dipastikan halal.
"Sebab itu perlu ada kempen beli produk Muslim, apatah lagi ada pihak anti bahasa Melayu dan mengagungkan bahasa ibunda mereka, tapi untuk kepentingan perniagaan mereka sanggup lakukan apa sahaja," katanya.
Jelasnya, ada yang begitu lantang anti menentang tulisan jawi tapi menggunakan tulisan tersebut untuk melariskan produk.
"Pelbagai cabaran terpaksa umat Islam Malaysia hadapi ketika ini dengan pihak yang tidak pernah rasa puas dengan apa yang mereka peroleh sekarang.
"Malah ada produk bukan orang Islam yang guna logo seolah menara masjid seolah-olah produk halal bagi umat Islam," katanya.
Menurutnya, amat wajar pihak tertentu itu menghormati sensitiviti ajaran Islam yang menyeru umatnya berusaha mencari sumber makanan halal dan memastikan ia datang dengan pakej toyyiban iaitu makanan yang baik, bersih dan berkualiti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!