50 banduan berpeluang bekerja dalam projek KVDT 2

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

RAWANG - Lima puluh banduan bakal diberi peluang bekerja dalam projek menaik taraf kemudahan infrastruktur landasan kereta api berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) sebagai usaha memulihkan mereka selain dapat mengurangkan penggunaan pekerja asing.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Loke Siew Fook berkata, melalui Program Reintegrasi Penghuni-Industri itu, banduan akan mula bekerja pada Oktober atau November ini melibatkan kerja baik pulih landasan kereta api Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Simpang Pelabuhan Klang berdekatan Mid Valley ke Pelabuhan Klang, dengan jarak 265km.

“Yang pertama, kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Yang kedua, dapat memulihkan banduan. Kita nak apabila banduan ini keluar dari penjara mereka boleh berintegrasi dengan masyarakat,” katanya selepas merasmikan projek menaik taraf kemudahan infrastruktur KVDT 2 di sini hari ini.

Anthony berkata, banduan yang terpilih terlibat secara sukarela dengan kontraktor Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, hasil usaha sama antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd yang mengendalikan projek berkenaan.

"Mereka akan dibayar sekurang-kurangnya gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM1,100.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani memorandum kerjasama Latihan Orang Diselia (ODS) Dalam Bidang Industri Pembinaan Landasan Keretapi KVDT 2.

Memorandum ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Pengerusi Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, Jeneral Tan Sri Mohd Azumi Mohamed.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, banduan yang bakal bekerja dalam projek itu ialah yang sedang menjalani pemulihan dan akan keluar dari penjara dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

Banduan akan dipantau dan dikawal pegawai penjara selain perlu patuh dengan peraturan ditetapkan penjara.

“Mereka akan tinggal dalam tempoh enam bulan hingga setahun dan selepas tamat tempoh sebagai banduan dengan kemahiran yang ada mereka akan terus berada dalam industri pembinaan ini.

“Jika ada pelanggaran disiplin, banduan ini akan dibatalkan kelulusan ini dan perlu pulang ke penjara semula,” katanya.

Projek KVDT 2 dilancarkan hari ini dengan kos RM4.475 bilion dan dijangka siap dalam tempoh tujuh tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Kos naik taraf landasan berkembar KVDT2 RM4.475 bilion

Walaupun kerajaan menetapkan tempoh maksimum tujuh tahun bagi projek ini namun Dhaya Maju LTAT sebaliknya yakin bahawa mereka mampu menyiapkannya dalam tempoh lima tahun. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!