Kelayakan bergelar doktor bukan KPM tentukan: Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika sidang media mengenai penganugerahan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 di kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika sidang media mengenai penganugerahan Prof Dr Siti Zainon Ismail sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-14 di kementeriannya hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Prosedur untuk melayakkan seseorang bergelar doktor bukan ditentukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menterinya, Dr Maszlee Malik sebaliknya berkata, penentuan penglibatan individu dalam profesion tersebut berdasarkan penilaian dibuat oleh badan profesional perubatan.

Sehubungan itu menurutnya, isu berkaitan graduan menggunakan jalan pintas untuk menjadi doktor seperti dilaporkan dalam sebuah akhbar tempatan itu sewajarnya dirujuk kepada agensi berkenaan dan Kementerian Kesihatan.

"Prosedur untuk seseorang itu layak menjadi doktor, bukan ditentukan oleh KPM tetapi Majlis Perubatan Malaysia. Mungkin seeloknya isu itu dirujuk kepada mereka.

"Di pihak kami, hanya di hospital universiti itu pun melalui tapisan daripada badan profesional dan kita tidak boleh sebarangan," katanya ketika ditemui pada sidang media Pengumuman Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan sesetengah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa melanjutkan pelajaran dalam jurusan perubatan di beberapa universiti luar negara, walaupun tidak memenuhi syarat minimum ditetapkan.

Mereka sepatutnya perlu mendapatkan Sijil Sokongan Luar Negara (SSLN) atau No Objection Ceritificate (NOC) daripada KPM, sebelum melanjutkan pelajaran dalam jurusan itu di luar negara, namun mereka tidak memohon sijil itu kerana tidak memenuhi syarat minimum ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!