Lawatan Dr Mahathir ke Rusia dijangka tingkat hubungan diplomatik

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media bersama wartawan Malaysia sempena lawatan rasmi tiga hari ke Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

VLADIVOSTOK- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual tiba esok di Rusia untuk lawatan tiga hari atas jemputan Presiden Rusia Vladimir Putin.

Duta Besar Malaysia ke Rusia, Datuk Mat Dris Yaacob, berkata lawatan itu akan meningkatkan hubungan diplomatik serta merangsang perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking.

Bercakap kepada media Malaysia di sini hari ini, Mat Dris berkata Dr Mahathir dan anggota delegasinya buat pertama kali akan menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF).

Perdana Menteri akan menyertai pemimpin dunia pada forum itu yang merupakan platform bagi membincangkan isu-isu yang bermatlamat meluaskan kerjasama antarabangsa di Asia Pasifik.

Pada Khamis, beliau dijadual berucap pada sesi pleno forum berkenaan, acara utama EEF kelima yang berlangsung di kampus Far Eastern Federal University, di sini.

"Dr Mahathir akan membincangkan hubungan dua hala serta mempromosi kerjasama baharu dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan,” kata Mat Dris.

Menurutnya, pembinaan kapal, pelancongan, pendidikan, pembinaan, penerbangan dan aeroangkasa, merupakan antara bidang ekonomi utama di Valdivostok yang boleh diteroka selanjutnya oleh syarikat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penganjur forum, Roscongress Foundation, memetik penasihat kepada Presiden Rusia, Anton Kobyakov, sebagai berkata bahawa Rusia berminat untuk membangunkan kerjasama dengan Malaysia dalam perdagangan, tenikal-ketenteraan serta bidang kemanusiaan.

Beliau mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) untuk membangunkan hubungan dagangan yang lebih intensif antara kedua-dua negara.

“EEC merupakan platform yang baik untuk pembentunkan pasaran antarabangsa sejagat,” kata Kobyakov.

Beliau berkata Malaysia mempunyai beberapa projek pelaburan utama di Rusia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!