Polis nasihat jangan sebar video kanak-kanak diculik

Rakaman video melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa diculik oleh seorang lelaki dengan sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih viral sejak semalam.
Rakaman video melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa diculik oleh seorang lelaki dengan sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih viral sejak semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan satu rakaman video melibatkan seorang kanak-kanak lelaki yang didakwa diculik oleh seorang lelaki dengan sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ini kerana pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian itu walaupun video itu tular dalam laman sosial.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya akan meneliti rakaman berkenaan yang dikatakan berlaku di Jalan Kebun Sultan di sini.

"Kita ingin menasihatkan kepada orang ramai agar jangan viralkan perkara yang tidak benar kerana ia boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

"Sebelum ini pernah ditularkan mengenai sebuah van berwarna putih yang dikatakan menjadikan kanak-kanak dan remaja belasan tahun sebagai mangsa namun selepas dijalankan siasatan ianya adalah tidak benar," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini hari ini.

Jelasnya, menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang itu menularkan perkara yang tidak benar dan boleh diambil tindakan menerusi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Sebenarnya kita juga membuat pemeriksaan di kesemua balai polis dalam daerah Kota Bharu namun tiada sebarang laporan polis dibuat.

"Kita akan meneliti kesahihan video itu sebelum tindakan selanjutnya diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam rakaman sepanjang 19 saat itu seorang lelaki dilihat bercakap dengan seorang kanak-kanak yang dianggarkan berusia antara enam hingga tujuh tahun sebelum dilihat menarik dan mengangkat kanak-kanak itu ke dalam kereta berwarna putih sebelum dilarikan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!