Ummah nafi gerakkan kempen boikot produk bukan Islam

Ummah nafi cetus kempen boikot produk bukan Islam pada sidang akhbar hari ini.
Ummah nafi cetus kempen boikot produk bukan Islam pada sidang akhbar hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gerakan Pembela Ummah (Ummah) menafikan kempen membeli produk Muslim yang digerakkan adalah untuk memboikot produk bukan Muslim.

Pengerusi Ummah, Aminuddin Yahya berkata, pihaknya kecewa dan terkilan terhadap kenyataan beberapa pemimpin politik negara yang mengaitkan kempen ini dengan isu perkauman dan agama.

Bahkan katanya, terdapat beberapa pemimpin politik yang mengaitkan kempen ini dengan parti politik.

“Ummah dengan ini menegaskan bahawa kempen ini tidak bermaksud memboikot produk daripada pengusaha-pengusaha bangsa lain dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Kempen ini adalah usaha untuk membantu pengusaha-pengusaha Islam yang selama ini tidak ada keupayaan kewangan untuk membuat pemasaran.

“Mereka juga tidak diberi ruang oleh pasar raya-pasar raya besar untuk memasarkan produk mereka. Ini menyebabkan tidak ramai pengusaha Melayu yang boleh kekal dalam perniagaan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menambah, unsur keraguan berkaitan kebersihan dan status halal bagi produk-produk yang dijual turut menjadi antara sebab kempen tersebut digerakkan.

“Kita sering dengar bagaimana produk-produk yang dijual ini diragui halal. Ini menyebabkan orang Islam tidak selesa kerana menjejaskan ibadah mereka.

Artikel Berkaitan:

"Jadi usaha ini adalah langkah untuk membantu orang Islam mendapatkan produk-produk yang sahih dari segi kebersihan dan halal,” katanya.

Justeru, kata Aminuddin, Ummah menolak istilah rasis yang digunakan sesetengah pihak kerana ia adalah istilah yang digunakan bagi memenuhi kehendak politik mereka tanpa ada sebarang asas.

“Ertinya, ia berniat jahat untuk mematikan kempen ini dan semangat membantu sesama Muslim,” katanya.

Difahamkan, kempen membeli produk Muslim telah dilancarkan sejak April, namun baru mendapat perhatian netizen sehingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!