Henti spekulasi perkara buruk di Gelora Bung Karno
PUTRAJAYA - Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong meminta rakyat Malaysia khususnya peminat bola sepak negara menghentikan spekulasi mengenai perkara buruk yang mungkin berlaku di Stadium Utama Gelora Bung Karno membabitkan pertembungan Indonesia dan Malaysia pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Khamis ini.
Beliau berkata, peminat sukan terutama bola sepak tidak kira sama ada di Indonesia mahupun Malaysia, semua mahu melihat satu perlawanan yang menarik di atas padang dan bukan berakhir dengan kejadian yang tidak diingini.
"Kita tidak perlu berspekulasi tentang perkara buruk yang akan berlaku sebab saya percaya penyokong-penyokong kita bukan sahaja mempunyai semangat yang tinggi tapi juga berhemah.
"Kita menaruh sangkaan yang baik dan keyakinan kepada pihak berkuasa yang terlibat (Indonesia) bahawa mereka akan memastikan keselamatan bukan sahaja pemain tetapi juga penyokong negara kita.
"Kalau berlaku di Malaysia, pihak berkuasa negara kita juga akan memastikan bahawa tidak ada apa-apa perkara buruk akan berlaku," katanya kepada pemberita selepas pelancaran perlumbaan jelajah berbasikal 'Tour of Peninsular' (ToP), di sini hari ini.
Steven berkata demikian mengulas mengenai kebimbangan terhadap tahap keselamatan para pemain dan juga penyokong bola sepak Malaysia, berikutan pertembungan antara dua negara jiran itu snetiasa mencetuskan insiden tidak diingini di penghujung perlawanan.
Aksi membabitkan Malaysia dan Indonesia yang sering kali ‘panas’ dan pengalaman menakutkan terakhir dialami skuad negara adalah pada Kejuaraan AFF Bawah 19 tahun (B-19) di Sidarjo, Jawa Timur tahun lepas menyaksikan skuad muda negara dibaling objek keras selepas menewaskan tuan rumah.
Sebelum itu, pasukan Malaysia terpaksa menaiki barracuda dua kali untuk pulang ke hotel penginapan iaitu pada aksi final AFF 2010 dan final Sukan SEA 2011 selepas dikepung penyokong Indonesia di luar stadium.
Dalam pada itu, Steven berkata, beliau dan menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sentiasa berhubung dan berkomunikasi dengan rakan sejawatannya Menteri Sukan Indonesia, Imam Nahrawi berhubung perkara berkenaan.
"Kita sudah ada hubungan dan menteri pernah berbicara dengan rakan beliau di Indonesia untuk pastikan rakyat Malaysia yang melihat perlawanan akan menikmati perlawanan dengan aman di sana (Indonesia)," katanya.
Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menerusi Setiausaha Agungnya, Ratu Tisha Destria telah memberi jaminan keselamatan kepada pasukan negara yang akan mendapat sambutan baik untuk mengharungi perlawanan di Stadium Utama Gelora Bung Karno. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!