Polis rampas ganja bernilai RM270,000
KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 133 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM270,000 dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Timbalan Pengarah Narkotik (Operasi/Risikan) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, menerusi serbuan itu, seramai sembilan lelaki warga tempatan ditahan dalam empat serbuan berasingan.
"Kesemua suspek berusia antara 18 hingga 44 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.
"Operasi lebih tujuh jam bermula kira-kira 7.20 pagi itu berjaya menemukan 136 ketulan dadah jenis ganja seberat 133 kilogram yang dianggarkan bernilai RM270,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Zulkifli berkata, siasatan awal mendapati dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan.
Katanya, polis turut menyita enam buah kenderaan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM673,300 berserta barang kemas.
"Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!