Rakyat sudah bosan, kata Tun M

Foto: Mohd Izari Rosli
Foto: Mohd Izari Rosli
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan walaupun selepas tujuh bulan PH telah mengambil alih tampuk pentadbiran, masih banyak penemuan mengenai kerosakan dalam jentera kerajaan dan kewangan negara yang tersembunyi.

Namun begitu, beliau berkata, rakyat sudah bosan dan tidak lagi memberi perhatian kepada kesalahan kerajaan terdahulu.

Menurutnya, rakyat hari ini hanya mahu melihat hasil pemulihan negara oleh kerajaan baharu.

"Ramai rakyat yang tidak pun memberi perhatian kepada tindakan undang-undang yang diambil terhadap pemimpin dahulu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menurutnya, pada hari ini, pemimpin dahulu cuba mengajar kerajaan hari ini menangani masalah yang ditinggal oleh mereka.

"Jika mereka begitu pandai, kenapa mereka tidak betulkan kerosakan semasa mereka memerintah dahulu," katanya.

Beliau berkata, Peguam Negara, Tommy Thomas telah memulakan langkah-langkah awal untuk mendakwa pemimpin-pemimpin terdahulu atas kesalahan salah guna kuasa dan rasuah mereka.

"Tindakan yang diambil ke atas mereka bukan disebabkan oleh perasaan balas dendam oleh kita, tetapi hanya kerana menghormati pemerintahan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Amatlah mengecewakan apabila ada yang menolak kesalahan yang jelas telah dilakukan oleh pemimpin terdahulu. Jika kesalahan mereka tidak diproses mengikut undang-undang maka kita akan dituduh melepas geram dan membalas dendam. Tetapi proses undang-undang mengambil masa," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa percubaan pemimpin-pemimpin dahulu untuk menjadi juara orang Melayu dengan mengambil bahagian dalam demonstrasi baru-baru ini tidak ikhlas.

"Rakyat tidak akan tertipu dengan perbuatan ini. Jika mereka ikhlas, masalah yang kita hadapi tidak akan berlaku.

"Apa yang sebenar berlaku ialah parti yang dahulu disanjung tinggi kerana perjuangan melawan Malayan Union dan memerdekakan negara, sudah ditolak oleh rakyat, khususnya orang Melayu kerana terlibat dengan rasuah, pencurian dan pengamalan pemerintahan kleptokrasi. Hari ini mereka hancur berkecai kerana perbuatan mereka sendiri," katanya.

Tambahnya, apa yang penting adalah pemerintahan negara dilaksanakan dengan baik oleh pemimpin bersatu bersama rakan dalam PH.

"Setakat ini kita berjaya menubuhkan kerajaan di peringkat Pusat dan di beberapa buah negeri. Tidak ada rusuhan berlaku.

"Pemerintahan kita membawa ketenangan dan kestabilan yang menjayakan rakyat dan pelabur. Ekonomi negara sekarang tumbuh dengan baik walaupun dunia tidak stabil," katanya.

Jelasnya, hutang negara sedang ditangani dengan baik dan jentera pentadbiran pun dibersihkan serta dipulih semula.

"Malangnya rakyat, terutama golongan miskin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi. Kerajaan dahulu pernah memberi duit percuma kepada rakyat secara rambang. Kita tidak mampu kerana kita tidak selewengkan wang kerajaan.

"Lagipun sebahagian yang tidak kecil dari pendapatan kerajaan terpaksa diguna untuk bayar hutang dan faedah yang amat tinggi. Jika hutang tidak dibayar maka kita boleh menjadi muflis dan bankrap. Kalau jadi muflis, semua pendapatan kita akan diguna untuk bayar hutang. Inilah malapetaka yang dibawa oleh kerajaan dahulu," katanya.

Dr Mahathir berkata lagi, pihaknya sedang berusaha menurunkan harga barang namun, usaha tersebut akan mengambil sedikit masa.

"Insya-ALLAH, kos sara hidup akan turun. Bersatu parti Melayu, Bumiputera seluruh Malaysia.

"Ia ditubuh kerana Umno, parti Melayu sudah tidak lagi mengutamakan perjuangan asal parti itu iaitu melindungi dan memajukan orang Melayu dan Bumiputera," katanya.

Selain itu, katanya Umno ditubuh kerana orang Melayu sangsi akan kemampuan mereka bersaing dengan kaum lain di Malaysia, terutama apabila merdeka.

"Di zaman British mereka sudah pun ketinggalan, miskin dan lemah. Hanya dengan bersatu dalam parti politik baharulah mereka dapat yakinkan diri mereka bahawa hak mereka sebagai anak watan tidak akan terlucut dan mereka akan terpinggir di negara mereka sendiri.

"Penubuhan Umno meyakinkan mereka bahawa kuasa politik Melayu dan Bumiputera boleh menjaminkan keselamatan mereka," katanya.

Bagaimanapun, kepimpinan yang mengambil alih pentadbiran pada 2003 telah menukar haluan.

"Dari sebuah parti yang menjadi juara orang Melayu dan Bumiputera, Umno diubah menjadi alat untuk kayakan diri pemimpin.

"Rasuah oleh pemimpin berkembang dengan pesat sehingga melibat bukan sahaja pemimpin politik tetapi sebahagian dari anggota kerajaan. Kepimpinan kerajaan sendiri menjadi pengamal utama rasuah dalam negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!