Blogger Rusia dijel 5 tahun gara-gara ciapan hasut kebencian
MOSCOW - Sebuah mahkamah di Rusia hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang blogger susulan ciapan di Twitter yang menghasut serangan ke atas anak-anak pegawai penguatkuasa undang-undang.
Mahkamah Daerah Presnensky mendapati Vladislav Sinitsa bersalah atas tuduhan ekstremisme dan harus menjalani hukuman penjara.
Menurut penyiasat, Sinitsa yang juga seorang pengurus ditahan bulan lalu susulan ciapan tersebut yang dimuat naik ke laman Twitter pada 31 Julai menggunakan nama samaran Max_Steklov.
Sinitsa dituduh di bawah undang-undang tegas anti-ekstremisme kerana menghasut kebencian terhadap semua penguatkuasa undang-undang dan keluarga mereka.
Dalam ciapan itu, Sinitsa menggambarkan situasi di mana anak-anak pegawai penguatkuasa undang-undang diculik dan dibunuh.
Ia ditulis berikutan tindakan polis bertempur dengan penunjuk perasaan di Moscow yang mendesak pilihan raya adil.
Terdahulu, kes Sinitsa disegerakan dan pendakwa memohon agar dia diberikan hukuman penjara maksimum enam tahun.
Sinitsa bagaimanapun dilaporkan akan membuat rayuan berhubung hukuman terbabit. - AFP/Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!