Zuraida disaran guna saluran mesyuarat bincang dalaman parti

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin dinasihatkan untuk menggunakan saluran mesyuarat rasmi parti bagi membincangkan hal ehwal dalaman parti.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Thiban Subramaniam berkata, Zuraida dilihat kerap membuat kenyataan terbuka yang disifatkan boleh menyebabkan salah tanggap umum kepada parti.

Menurutnya, kenyataan berterusan Zuraida mengenai tiga pucuk surat yang dihantarnya untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan didakwa tidak dilayan, menyebabkan hal-hal dalaman parti kini menjadi perhatian umum.

"Zuraida memiliki ruang seluas-luasnya dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang diadakan pada setiap bulan untuk mengutarakan apa juga pandangan mahupun kritikan.

"Oleh itu, saya bersetuju dengan saranan Anwar bahawa isu dibangkitkan Zuraida hanyalah 'titik bengik' yang perlu diselesaikan melalui saluran rasmi parti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan dikeluarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga seolah-olah cuba menggambarkan beliau tidak memiliki ruang untuk mengutarakan pandangan kepada kepimpinan parti.

Katanya, lebih berbahaya apabila nama Presiden PKR cuba diheret sama dan dituduh cuba menutup ruang perbincangan.

Sementara itu, Thiban berkata, semua kepimpinan PKR perlu sentiasa menghormati dan patuh pada disiplin parti agar parti sentiasa fokus kepada pelaksanaan agenda reformasi.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Anwar menyifatkan isu surat yang tidak dibalas yang dibangkitkan oleh Zuraida sebagai isu 'titik bengik' dan meminta Ahli Parlimen Ampang itu datang ke mesyuarat untuk berbincang.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar ingatkan Zuraida hadir mesyuarat parti

Sebelum ini, Zuraida dilaporkan berkata, Anwar tidak melayan tiga pucuk surat yang dihantarnya bagi membincangkan perihal parti dan bagi mengadakan pertemuan untuk usaha perdamaian.

Zuraida turut menegaskan, ia merupakan sebab dia tidak hadir ke mesyuarat MPP.

ARTIKEL BERKAITAN: Permintaan tidak dilayan punca tak hadir mesyuarat: Zuraida

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!